suria

Pertembungan Dua Gergasi Badminton Dunia Esok

KUALA LUMPUR: Perlawanan akhir Piala Thomas antara juara bertahan China dan pilihan kedua Indonesia esok akan menyaksikan pertembungan dua jaguh Olimpik iaitu Lin Dan dan Taufik Hidayat.

Lin Dan, juara Sukan Olimpik Beijing 2008, kini merupakan pemain nombor dua dunia manakala Taufik, yang merangkul emas pada Sukan Olimpik Athens 2004, kini menduduki ranking kelima dunia.

Rekod pertemuan antara mereka berdua memihak kepada Lin Dan apabila pemain China itu menewaskan Taufik sebanyak enam kali dalam sembilan pertemuan.

Ketua jurulatih China, Li Yongbo meramalkan perlawanan esok merupakan pertembungan hebat antara dua jaguh Olimpik itu.

"Secara keseluruhan, kedua-duka pasukan mempunyai barisan seimbang yang menguasai ranking dunia. Saya fikir perlawanan final akan lebih menarik esok," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

China dijangka menurunkan barisan sama yang menewaskan Malaysia 3-0 pada separuh akhir semalam Lin Dan, beregu nombor lapan dunia Chai Yun/Fu Haifeng, Chen Jin (3), Chen Xu/Guo Zhendong (5) dan Bao Chunlai, pemain perseorangan nombor lapan dunia.

Dalam pada itu, Indonesia dijangka membariskan Taufik, Markis Kido/Hendra Setiawan (3), Simon Santoso (12), Nova Widianto/Muhammad Ahsan dan Dyonisius Hayom Rumbaka (26).

Kemungkinan Indonesia akan menurunkan semula pemain berpengalaman Sony Dwi Kuncoro, pemain nombor 11 dunia, berbanding Simon, sebagai pemain perseorangan kedua.

Sebelum ini, Sony diberi rehat selepas perlawanan kumpulan menentang India ekoran masalah sakit belakang.

Pengurus pasukan Indonesia, Yakob Rusdianto berkata Taufik harus membuka laluan untuk kejayaan pasukan itu merampas semula piala berprestij itu dari China.

"Saya berpendapat Indonesia harus mengutip mata pertama dalam acara perseorangan dan harap kedua-dua beregu dapat mengatasi lawan masing-masing.

"Jika Taufik gagal, maka sukar untuk menewaskan pasukan dari negara Tembok Besar China itu," katanya.

China memburu gelaran kelapan kali ini selepas menundukkan Korea Selatan 3-1 pada perlawanan akhir di Jakarta, Indonesia, pada 2006.

Artikel Sebelum

Webber Takluk Monaco

Artikel Berikut

Belia Jaguh Negara

Artikel Lain