Korea Runtuhkan Tembok China

Diterbitkan: Sabtu, 15 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Korea Selatan meruntuhkan tembok China apabila menjuarai kejohanan Piala Uber di perlawanan akhir di Stadium Putra, Bukit Jalil hari ini.

Korea menang 3-1 ke atas China, menamatkan badi kekalahan dalam enam pertemuan akhir mereka dengan China sebelum ini.

Kejayaan mula tercipta apabila pemain perseorangan Korea, Bae Seung Hae (ranking ke-16 dunia) tanpa diduga menewaskan pemain China, Wang Yihan (1) 23-21, 21-11.

Seung Hae yang ditemui kemudiannya berkata beliau dan Yihan sama-sama mengalami tekanan kerana bermain sebagai perseorangan pertama.

Tetapi sebagai underdog, beliau berkata beliau merasa lebih releks dan kurang tertekan.

"Saya hanya fokus untuk mendapat mata demi mata," katanya.

Beliau berkata strateginya ialah menghantar bola ke bahagian belakang gelanggang.

"Ini berhasil kerana ia melemahkan pertahanan Yihan," katanya.

Bersemangat dengan kejayaan Seung Hae, pasangan beregu pertama Korea yang terdiri daripada Lee Jung Hyo/Kim Min Jung bermain agresif untuk memaksa pasangan China, Ma Jin/Wang Xiaoli (1 dunia) melakukan banyak kesilapan.

Pasangan Korea itu tewas 18-21 di set pertama, tetapi menang di set kedua dan penentuan 21-12, 21-15.

Namun bagi perseorangan kedua, pemain Korea Sung Ji Hyun (26) tewas kepada pemain China Wang Xin (2) 14-21, 21-16, 17-21, untuk memberi mata pertama kepada China.

Tetapi pasangan beregu kedua Korea, Lee Kyung Won/Ha Jung Eun muncul sebagai wirawati apabila memberi mata kemenangan 3-1 kepada Korea.

Dalam pertarungan yang mendebarkan bagi kedua-dua pasukan, mereka akhirnya menewaskan pasangan China, Du Jing/Yu Yang (2) 21-19, 14-21, 21-19 setelah bertarung selama satu jam dan 18 minit. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan