suria

Segala Perancangan Malaysia Tidak Menjadi, Kata Rashid Sidek

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih perseorangan Rashid Sidek mengakui segala perancangan skuad negara tidak menjadi, menyebabkan Malaysia tewas mudah 0-3 kepada juara bertahan, China pada saingan separuh akhir Piala Thomas yang berlangsung di Stadium Putra, hari ini.

Rashid berkata skuad negara sememangnya telah membuat persiapan rapi bukan sahaja untuk berdepan China malah mana-mana pasukan.

"Selepas tewas mudah, baru kita lihat, skuad China sememangnya telah membuat persiapan lebih baik dari Malaysia terutama dari segi kualiti pemain mereka," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Skuad Piala Thomas Malaysia tewas 0-3 kepada China selepas Datuk Lee Chong Wei tewas 17-21, 8-21 kepada Lin Dan, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong dijinakkan oleh Cai Yun/Fu Haifeng 15-21, 10-21 dan Wong Choong Hann pula dikalahkan oleh Chen Jin 16-21, 7-21.

China akan bertemu Indonesia pada perlawanan akhir pada Ahad ini.

Rashid mengambil contoh, juara Olimpik Beijing, Lin Dan yang tidak mempamerkan prestasi sebenar semasa Terbuka Swiss dan Kejohanan All England pada awal tahun ini dengan tewas mudah di peringkat suku-akhir.

"Tetapi bila beraksi menentang Datuk Lee Chong Wei hari ini, Lin Dan menunjukkan prestasi sebenar dan mudah menundukkan lawannya," kata Rashid.

Sementara ketua jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky berkata pemain perseorangan pertama negara, Chong Wei serta beregu utama Koo/Tan membuat banyak kesilapan yang akhirnya melemahkan semangat berpasukan.

"Jika Chong Wei atau Koo/Tan dapat mengutip satu mata, saya pasti pemain lain yang bersedia untuk diturunkan, akan tambah semangat dan mampu melakukan sesuatu untuk menewaskan China," katanya.

Pemain lain dalam barisan skuad negara ialah beregu kedua, Mohd Zakry Abdul Latif/Hoon Tien How dan perseorangan ketiga, Muhd Hafiz Hashim.

Ketua jurulatih China Li Yongbo berkata beliau tidak menyangka pasukannya akan menang mudah ke atas Malaysia.

"Tetapi walau apapun keputusannya, 3-0 atau 3-2, kita akan tetap menang," katanya.

Ditanya mengenai prestasi pemain Malaysia, Li berkata mereka bermain baik tetapi pemain China bermain lebih baik.

Katanya semua pasukan Piala Thomas mahu mengalahkan China dan bagi pemain Malaysia yang bermain di tempat sendiri dan di hadapan 10,000 penyokong yang memenuhi stadium, lebih tertekan.

"Tetapi tidak bagi pemain China. Kami mempunyai cara tersendiri untuk mengatasi tekanan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain