suria

Rakyat Jepun Jelajah Dunia Dengan Basikal Tiba Di P. Pinang

PULAU PINANG: Seorang rakyat Jepun Ryohei Oguchi, yang mengayuh basikal untuk mencapai impiannya menjelajah dunia, kini berada di Pulau Pinang setelah melepasi lima buah negara.

Oguchi, 29, yang bekerja sebagai penasihat kewangan di sebuah syarikat di Jepun, memulakan penjelajahannya dari Jepun pada tahun 2007 dan telah menjelajah Taiwan, Australia, New Zealand, Indonesia, Singapura dan sebelum tiba di Malaysia.

Ryohei berkata impiannya untuk menjelajah dunia dengan berbasikal timbul sejak dibangku sekolah lagi dan beliau terpaksa mengumpul wang selama empat tahun untuk menanggung pembelanjaannya.

Lulusan dalam bidang penasihat kewangan dari Universiti Toyo, Jepun itu menjangkakan dapat mengakhiri pengayuhannya menjelajah dunia pada tahun 2015.

Dalam tempoh tersebut, beliau akan menjelajah 100 buah negara sebelum tiba kembali ke negara asalnya.

"Saya akan mengayuh basikal sejauh 100 hingga 150 kilometer setiap hari yang mengambil masa antara 7 hingga 10 jam," kata Ryohei.

Beliau berkata pada setiap tempat yang disinggahinya, beliau akan mendirikan khemah di lokasi yang sesuai untuk bermalam.

Ryohei turut membawa khemah dan keperluan harian yang diletakkan di atas basikalnya.

Katanya tujuan beliau menjelajah dunia ialah untuk melihat sendiri cara kehidupan, kebudayaan, makanan, pemandangan dan sikap masyarakat sesebuah negara itu.

Beliau yang berada di negara ini selama dua minggu juga menyifatkan rakyat Malaysia sebagai unik kerana hidup dalam masyarakat berbilang kaum, bersikap toleransi dan penyayang.

"Pelbagai jenis makanan seperti makanan Melayu, Cina dan India juga dapat dilihat di Malaysia dan rasanya sungguh enak," kata Ryohei yang fasih bertutur dalam bahasa Melayu.

Beliau mempunyai cita-cita untuk menceritakan pengalaman pengayuhan ke seluruh dunia kepada rakyat Jepun terutamanya kanak-kanak dan akan menulis buku mengenai pengalamannya itu selepas menamatkan penjelajahannya kelak.

Ryohei dijangka tiba di sempadan Thailand pada 16 Mei ini sebelum meneruskan kayuhannya ke Thailand, Kemboja, Vietnam, Laos, China dan negara-negara Eropah sebelum kembali ke negara asalnya. -BERNAMA

Artikel Lain