suria

Skuad Bola Sepak Kebangsaan Jalani Latihan Di Turki

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak kebangsaan akan menjalani latihan pusat di Antalya, Turki dari 10 hingga 20 Jun ini sebagai persiapan bagi menghadapi dua kejohanan besar hujung tahun ini.

Jurulatih kebangsaan K.Rajagobal berkata dua kejohanan itu ialah Sukan Asia di Guangzhou, China pada bulan November dan Piala Konfederasi Bola sepak Asean (AFF) pada bulan berikutnya.

"Selain daripada sesi latihan biasa, kami juga sedang mengatur sekurang-kurangnya tiga atau empat perlawanan dengan pasukan-pasukan di sana," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Katanya beliau melihat latihan pusat itu penting kerana kali terakhir skuad kebangsaan beraksi pada perlawanan kompetitif adalah pada bulan Februari lepas ketika menewaskan Yemen 1-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

"Pasukan negara sebenarnya memerlukan lebih banyak perlawanan-perlawanan yang kompetitif bagi memastikan skuad kebangsaan bersedia sepenuhnya bagi menghadapi kedua-dua kejohanan itu," katanya.

Bagi sesi latihan pusat pada kali ini, Rajagobal memanggil 30 pemain yang merupakan campuran pemain-pemain senior dan bawah 23 tahun bagi menghadapi kedua-dua kejohanan itu.

Sukan Asia akan membabitkan skuad bawah 23 tahun serta tiga kuota untuk pemain senior (umur lebih 23 tahun) manakala Piala AFF membabitkan skuad kebangsaan.

Daripada 30 pemain itu, 24 merupakan pemain-pemain di dalam Liga Super seperti Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, Norhafiz Zamani Misbah dan Ahmad Fakri Saarani.

Manakala pemain tengah PDRM, S. Harivarman menjadi pemain tunggal dari Liga Perdana, selain lima pemain bawah 21 tahun kebangsaan atau Harimau Muda A yang kini menjalani latihan di Slovakia.

Senarai 30 pelatih skuad kebangsaan:

Penjaga gol: Mohd Farizal Marlias (Perlis), Mohd Sharbinee Allawee (Terengganu), Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan)

Pertahanan: Norhafiz Zamani Misbah (KL Plus), Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak (Nengeri Sembilan), Muhaimin Omar (Terengganu), Mohd Asraruddin Putra Omar (Selangor), Mohd Nasriq Baharom (Selangor), Mohd Bunyamin Umar (Selangor), V.Thirumurugan (Kedah), Mohd Azmi Muslim (Kedah), Mohd Sabre Mat Abu (Kedah), Khairul Helmi Johari (Kedah), Muslim Ahmad (Harimau Muda A), Mahali Jasuli (Harimau Muda A)

Tengah: K. Gurusamy (Harimau Muda A), Safiq Rahim (Selangor), S. Kunalan (Negeri Sembilan), Amar Rohidan (Perlis), Faizal Abu Bakar (Kedah), Mohd Khyril Muhymeen Zambri (Kedah), S. Harivarman (PDRM)

Penyerang: Mohd Safee Sali (Selangor), Ahmad Fakri Saarani (Perlis), Shakir Ali (Harimau Muda A), Izzaq Faris Ramlan (Harimau Muda A), Baddrol Bakhtiar (Kedah), Ashaari Shamsuddin (Terengganu), Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak (Negeri Sembilan), Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain