suria

Malaysia Ke Separuh Akhir Piala Thomas Untuk Bertemu China

KUALA LUMPUR: Malaysia akan bertemu juara bertahan China pada perlawanan separuh akhir Piala Thomas Jumaat ini selepas menundukkan Denmark 3-2 pada saingan suku akhir di Stadium Putra di sini semalam.

Pada perlawanan suku akhir semalam, juara All England 2003 Muhd Hafiz Hashim muncul wira Malaysia selepas menundukkan Joachim Persson 21-12, 21-10, sekaligus mengulangi aksi di Guangzhou pada 2002 di mana beliau ketika itu menumpaskan Bao Chun Lai untuk mata kemenangan Malaysia.

Malaysia mengalahkan China, tuan rumah ketika itu, 3-1 pada perlawanan separuh akhir tetapi tewas 2-3 kepada Indonesia pada perlawanan akhir, yang merupakan kali terakhir Malaysia layak ke perlawanan akhir.

Pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei memberikan mata pertama kepada Malaysia apabila mudah menundukkan Peter Hoeg Gade 21-17, 21-17 dalam masa 49 minit.

Walaupun pemain Denmark itu cuba mengawal permainan dengan kerap menukar taktik, pemain Malaysia itu berjaya mengekalkan corak permainannya.

Beregu lelaki nombor satu dunia, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong mengukuhkan kedudukan Malaysia dengan mata kedua apabila menundukkan beregu nombor empat dunia Carsten Mogensen/Mathias Boe 21-17, 21-19 dalam masa 41 minit.

Bagaimanapun, Denmark bangkit untuk mengikat kedudukan 2-2 apabila memenangi dua perlawanan selepas itu dengan pemain nombor sembilan dunia Jan O Jorgensen menundukkan pemain perseorangan kedua negara Wong Choong Hann 22-20, 16-21 dan 21-18.

Dalam aksi perlawanan keempat, Malaysia mengetengahkan gandingan baru Mohd Zakry Abdul Latif/Hoon Tien How untuk menentang juara All England tahun ini Lars Paaske/Jonas Rasmussen.

Pasangan Malaysia itu menang set pertama 26-24 tetapi gagal meneruskan aksi cemerlang apabila tewas 12-21 dan 19-21.

Dengan kedudukan terikat 2-2, Muhd Hafiz menjadi harapan negara untuk mendapatkan mata kemenangan dan beliau jelas berada pada prestasi yang baik untuk memastikan kemenangan Malaysia.

"Saya berasa gembira kerana dapat memberikan mata kemenangan dalam perlawanan penentuan malam ini.

"Perasaan itu sama ketika edisi di Guangzhou 2002 apabila saya juga memberikan mata penentuan kepada negara (untuk ke perlawanan akhir)," kata Muhd Hafiz kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Beliau yang kemarau gelaran besar selepas memenangi Kejohanan All England 2003 berharap kejayaan malam ini dapat menepis segala kritikan yag meragui prestasinya.

"Tetapi banyak lagi perlu dilakukan terutama bila berjumpa China pada peringkat separuh akhir, Jumaat ini. Tetapi saya dengan jurulatih telah membuat segala persiapan, walau siapapun lawan yang bakal ditemui," katanya.

Dalam perlawanan suku akhir yang lain, China mengalahkan Korea Selatan 3-0 manakala Jepun mengalahkan Jerman 3-1 dan Indonesia menundukkan India 3-0.

Satu lagi perlawanan separuh akhir akan menemukan Jepun dengan Indonesia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain