suria

All Blacks Tiba Di Seremban Bulan Depan

KUALA LUMPUR: Pasukan ragbi terkemuka dari New Zealand, Klasik All Blacks dijangka mengegarkan kejohanan 'Spirit of Rugby Cup Malaysia 2010' di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, Seremban dari 11 hingga 13 Jun depan.

Klasik All Blacks akan menurunkan barisan pemain handalan dan terkemuka New Zealand yang akan berdepan dengan pasukan pilihan dunia yang dibarisi gabungan pemain dari beberapa negara. Ketua Pegawai Eksekutif Cendana Resources Sdn Bhd, Roslan Ibrahim dalam satu kenyataan berkata perlawanan kelas dunia yang dibawa ke Malaysia buat julung kali itu adalah sebahagian usaha pihaknya untuk mempromosi sukan ragbi yang semakin berkembang di Malaysia.

"Sukan ragbi dan nama All Blacks cukup sinonim dan Cendana Resources selaku penganjur kejohanan cukup berbangga dapat membawa pasukan ini ke Malaysia untuk bertarung dengan pasukan pilihan dunia yang akan dibarisi pemain terbaik dari seluruh dunia.

"Selain All Black, sebuah pasukan baru - Barbarians yang membariskan gabungan pemain terbaik di kepulauan Asia Pasifik dijangka akan turut mempamerkan aksi yang cukup menarik di kejohanan ini," katanya.

Pelancaran kejohanan tersebut diadakan di Seremban yang turut dihadiri oleh Setiausaha Bahagian Industri Sukan Kementerian Belia dan Sukan, Mohamed Salleh, Presiden All Blacks Klasik, Andy Haden dan jurulatih Barbarians, Wayne Shelford.

"Negeri Sembilan dan sukan ragbi juga mempunyai ikatan yang istimewa di Malaysia kerana negeri ini melahirkan pasukan tempatan yang handal iaitu NS Wanderers yang muncul juara Liga Super anjuran Kesatuan Ragbi Malaysia baru-baru ini," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain