suria

Piala Sultan Azlan Shah: Malaysia Kalahkan India 5-2

IPOH: Malaysia membuat kejutan dengan mencatatkan kemenangan besar 5-2 ke atas juara bertahan, India dalam saingan Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-19 di Stadium Sultan Azlan Shah di sini malam ini.

Dengan kemenangan itu, Malaysia naik ke tempat kedua dalam saingan yang melibatkan tujuh pasukan itu.

Dalam perlawanan hari ini, Malaysia yang berada pada kedudukan keempat sebelum perlawanan turun dengan aksi cemerlang dan membuka tirai jaringan pada minit ke-27 menerusi Muhammad Amin Rahim yang menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Pada babak kedua, skuad negara menggandakan asakan dan berjaya memperolehi gol kedua pada minit ke-39 melalui pukulan deras Tengku Abdul Jalil Tengku Ahmad Tajuddin yang menewaskan penjaga gol lawan Bharat Chetri dan dua minit selepas itu, giliran Muhammad Radzie Abdul Rahim pula menolak masuk bola pukulan sudut penalti untuk kedudukan 3-0.

Tersentak dengan gol itu, India kemudiannya melakukan serangan dan memperoleh gol pertama melalui Danish Mujtaba yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-44 untuk kedudukan 1-3.

Tiga minit kemudian, Muhammad Amin sekali lagi menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk kedudukan 4-1 buat Malaysia. Malaysia terus garang apabila memperolehi gol kelima melalui Azreen Rizal Nasir pada minit ke-60.

India kemudiannya merapatkan jurang melalui Ravi Pal yang menolak masuk ketika berlaku pergelutan di hadapan pintu gol pada minit ke-68 untuk kedudukan 2-5.

Sementara itu, juara dunia Australia sekadar seri 5-5 dengan Pakistan hari ini walaupun pada satu ketika mendahului 4-1.

Australia mendapatkan gol pertama melalui jaringan Timothy Bates pada minit ke-11 dan diikuti jaringan ketua pasukan Grant Schubert enam minit selepas itu, sebelum Pakistan menjadikan kedudukan 1-2 menerusi jaringan Muhamamd Rizwan pada minit ke-21.

Pada minit ke-26 giliran Christopher Ciriello menyempurnakan pukulan sudut penalti menjadikan kedudukan 3-1 sehingga berakhir babak pertama dan selepas perlawanan bersambung Ciriello sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-40.

Pada minit ke-53, Muhamamd Irfan menjaringkan gol kedua Pakistan diikuti jaringan Muhammad Imran pada minit ke-58 untuk kedudukan 4-3.

Tiga minit kemudian Grant Schubert menjaringkan gol kelima Australia tetapi Pakistan bangkit dengan dua gol menerusi jaringan Muhamad Umar Bhutta pada minit ke-64 dan gol penyamaan menerusi Muhammad Imran seminit sebelum tamat perlawanan untuk kedudukan 5-5.

Dalam satu lagi perlawanan hari ini, China pula membelasah Mesir 5-1, untuk merekodkan kemenangan pertama mereka selepas empat perlawanan manakala Mesir di tangga tercorot. - BERNAMA

Artikel Lain