suria

Malaysia Mara Ke Separuh Akhir

KUALA LUMPUR: Tahniah Malaysia! Sorakan semangat penyokong yang menggegar Stadium Putra Bukit Jalil hari ini mengiringi kejayaan barisan skuad Piala Thomas negara melangkah ke peringkat separuh akhir dengan kemenangan 3-2 selepas menewaskan Denmark.

Kemenangan pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei meniup harapan satu-satunya peluang Malaysia untuk mengembalikan semula trofi yang dimenangi buat kali terakhir sejak 1992.

Perlawanan selama 49 minit itu menyaksikan Chong Wei menundukkan Peter Hoeg Gade 21-17,21-17 dengan menghadiahkan mata pertama buat negara.

Menurut Chong Wei, Gade mempamerkan aksi lebih agresif dan menukar strategi permainan selepas dibelenggu kecederaan ketika jaguh badminton negara itu mendahului set pertama dengan 13-7.

"Kali ini saya bermain lebih tenang. Gade cuba menggangu konsentrasi saya dan menyebabkan saya sedikit tertekan tetapi berjaya mengawalnya," katanya ketika ditemui pada sidang media sebentar tadi.

Gandingan mantap beregu negara, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong berjaya menyekat kemaraan Carsten Mogensen/Mathias Boe apabila mencatat kemenangan 21-17, 21-19.

Kedua-duanya sering mempamerkan aksi bertenaga dan bermain pada tahap terbaik hari ini.

"Pasukan lawan nampak tertekan. Kami tidak mahu terlalu memikirkan untuk menang tetapi ingin mengumpul setiap mata. Selagi kami ada peluang dalam perlawanan ini, kami akan terus berjuang," kata Kien Keat.

Walaupun tewas kepada Jepun pada aksi peringkat kumpulan terakhir semalam, Kien Keat tidak pernah berputus berharap dengan keupayaan rakan sepasukannya.

"Setakat ini, pasukan kami bermain dengan baik. Saya tidak kisah siapa yang akan menang atau kalah. Kami masih lagi makan tengah hari bersama tadi," katanya.

Pemain veteran negara, Wong Choong Han gagal membawa skuad negara mara ke separuh akhir lebih awal apabila tewas 20-22, 21-16, 18-21.

Choong Han menyifatkan faktor usia sebagai halangan utamanya untuk menyekat kehebatan pemain muda Denmark, Jan O Jorgensen.

Choong Han berjaya mengheret perlawanan ke set ketiga selepas bangkit pada set kedua namun gagal menghadiahkan mata ketiga buat negara.

"Saya amat kecewa dengan kekalahan ini. Sudah semestinya saya bermain dengan lebih baik berbanding semalam. Kami berdua cuba mengawal permainan antara satu sama lain," katanya.

Sementara itu, beregu pilihan kedua, Mohd Zakry Abdul Latif/Hoon Thien How tewas kepada Lars Paaske/Jonas Rasmussen 26-24, 12-21, 19-21.

Meskipun diheret ke set ketiga, kedua-duanya ada masalah komunikasi dan beregu Jerman dilihat banyak mengubah strategi permainan pada set kedua.

"Permainan ok memandangkan kami berdua pernah digandingkan bersama pada Sukan Sukma 2002 di Seremban. Tetapi saya teragak-agak untuk mengambil pukulan," kata Mohd Zakry.

Zakry berkata, pihak lawan dilihat melakukan pukulan dengan tangkas, lebih konsisten dan banyak bersabar berbanding mereka.

Namun, Hoon yang kali pertama beraksi pada kejohanan berprestij dunia ini mengakui dia hanya mahu melakukan aksi terbaik.

Pemain perseorangan pilihan ketiga negara, Mohd Hafiz Hashim kembali menceriakan kem negara apabila menundukkan Joachim Persson 21-12, 21-10 untuk memberi mata kemenangan kepada negara.

"Saya amat gembira dan berpuas hati kerana memberi mata kemenangan buat negara untuk melangkah ke separuh akhir. Saya suka berada pada kedudukan sekarang dan lebih gemar beraksi pada perlawanan penentuan," katanya.

Hafiz turut menerima ucapan tahniah daripada Datin Seri Rosmah Mansor di atas kejayaannya sebentar tadi.

Juara bertahan China dan pilihan kedua, Indonesia terlebih dahulu menempah tempat ke separuh akhir selepas menundukkan lawan masing-masing pada aksi suku akhir Kejohanan Piala Thomas, tengah hari tadi.

China akan bertemu tuan rumah, Malaysia manakala Indonesia akan menentang Jepun, Jumaat ini.

Dalam usaha memburu kejuaraan untuk kali kelapan pada kejohanan itu, China mengetepikan Korea Selatan 3-0 selepas menjinakkan pasukan sama 4-1 semalam pada saingan peringkat kumpulan terakhir mereka.

Artikel Lain