suria

Capello Umum Senarai Barisan Yang Mengejutkan...

LONDON: Pengurus skuad bolasepak England, Fabio Capello mengumumkan senarai 30 pemain yang akan menjalani latihan untuk persiapan ke Piala Dunia 11 Jun depan dengan beberapa keputusan yang mengejutkan.

Senarai terakhir seramai 23 orang akan diumumkan pada 1 Jun depan.

Di bawah peraturan Fifa, Capello dibenarkan memilih pemain-pemain yang tidak disenaraikan di dalam skuad ini untuk senarai skuad terakhir yang perlu dikemukakan kepada Fifa pada 1 Jun.

Pasangan yang belum pernah mewakili skuad kebangsaan, Adam Johnson pemain sayap Manchester City dan Michael Dawson serta rakan sepasukannya dari Tottenham, Tom Huddlestone dipanggil untuk menyertai kem latihan.

Pemain pertahanan Liverpool, Jamie Carragher yang mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan beberapa tahun lalu membuat kejutan dengan bersetuju untuk kembali menyarung jersi England.

Kapten dan pemain pertahanan Tottenham, Ledley King dan Gareth Barry yang mana kedua-duanya masih dibelenggu dengan kecederaan buku lali serta lutut turut terpilih menganggotai skuad kebangsaan.

Turut terpilih ialah Stephen Warnock, Scott Parker dan Darren Bent.

England akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Mexico di Wembley pada 24 Mei dan diikuti Jepun enam hari kemudian sebagai sebahagian daripada persiapan menjelang Piala Dunia.

Pengurus berbangsa Itali itu juga turut menamakan penjaga gol Manchester City, Joe Hart, 23, sebagai salah seorang daripada tiga penjaga gol selepas menunjukkan prestasi cemerlangan sepanjang tempoh pinjamannya ke Birmingham.

Sepertimana Hart, lain-lain pemain muda yang diangkat dari skuad bawah 21 England untuk menyertai skuad kebangsaan termasuklah pemain bek kiri Leighton Baines dari Everton dan pemain Aston Villa, Warnock.

Tetapi untuk posisi bek kanan dan bek tengah, Capello masih bergantung harap kepada Carragher yang berpengalaman bermain dalam dua kejohanan besar iaitu Euro 2004 dan Piala Dunia 2006 sebelum mengumumkan persaraan dari peringkat antarabangsa pada musim panas 2007.

Kecederaan yang berpanjangan yang menimpa beberapa pemain pertahanan tengah seperti Rio Ferdinand, Wes Brown dan Joleon Lescott telah memaksa Capello dan penolongnya Franco Baldini kembali memujuk Carragher supaya keluar dari persaraannya itu.

Ini diakui sendiri oleh pemain Liverpool berusia 32 tahun itu yang berkata selepas pengurusan England menghubunginya dan bercakap secara panjang lebar mengenai permasalahan yang menimpa barisan pertahanan beliau akhirnya bersetuju untuk kembali bersama skuad kebangsaan.

Walaupun berhadapan dengan masalah lutut yang kronik, pemilihan Ledley King telah pun dijangka oleh ramai pemerhati bolasepak selepas kapten Tottenham itu mempamerkan mutu permainan pada tahap sediakalanya sehingga membawa kelab tersebut menduduki tempat keempat liga.

"Ledley King adalah salah seorang bek tengah terbaik England dan dalam empat perlawanan terakhirnya dia memaklumkan kepada pasukan perubatan kita yang dia tidak merasai kesakitan pada lututnya...dan pada pandangan satu itu yang penting," jawab Capello ringkas apabila ditanya Radio 5 BBC.

Dawson, rakan gandingan King di barisan tengah Tottenham, turut diberikan peluang untuk beraksi dalam skuad kebangsaan selepas mempamerkan permainan yang memberansangkan sepanjang musim ini. Dawson sebelum ini telah mewakili skuad Bawah-21 England sebanyak 13 kali.

Capello juga nampaknya menaruh kepercayaan yang tinggi ke atas beberapa lagi pemain ternama yang baru pulih dari kecederaan panjang seperti Joe Cole, Aaron Lennon, Theo Walcott dan Shaun Wright-Phillips.

Tetapi keputusan Capello yang paling mengejutkan ialah untuk turut menyenaraikan Gareth Barry walaupun pemain itu dikatakan tidak akan sempat pulih dari kecederaan buku lali sehingga Jun. Namun Barry yang telah bermain 20 daripada 36 permainan untuk England di bawah Capello masih menjadi sebahagian daripada pemain pilihan Capello.

Ini ternyata benar apabila Capello telah memilih Barry untuk bermain dalam lapan daripada sepuluh perlawanan kelayakan Piala Dunia England.

Capello juga mendedahkan betapa beliau sendiri mencuba untuk meminta maestro Manchester United, Paul Scholes supaya kembali bersama skuad England tetapi gagal.

Spekulasi yang mengatakan Capello akan kembali memberi kepercayaan kepada pemain tengah Manchester Utd, Owen Hargreaves, juga ternyata tidak menjadi.

"Saya telah bertemu dengan Hargreaves sebanyak dua kali dan pemain itu sendiri mengakui yang dia tidak fit untuk bermain setelah berehat selama 18 bulan akibat kecederaan pada kedua-dua belah lututnya. Saya cuma berharap dia kembali cergas seperti sediakala untuk kelayakan Kejohanan Eropah musim depan," kata Capello.

Pemain Fulham, Bobby Zamora dan West Ham, Carlton Cole gagal disenaraikan bersama skuad Piala Dunia ini kerana kedua-duanya mengakui kesakitan yang mereka tanggung sepanjang musim bersama kelab masing-masing terlalu berat untuk terus bermain selama sebulan lagi dalam kejohanan sebesar Piala Dunia.

Dengan itu Capello beralih kepada Darrent Bent yang berjaya menyumbat 25 gol bersama Sunderland musim ini, Peter Crouch dan Jermain Defoe dari Tottenham dan pemain terbaik EPL musim ini, Wayne Rooney. Tetapi yang mengejutkan ialah keputusan Capello untuk terus memberi kepercayaan kepada Emile Heskey.

BERIKUT IALAH SENARAI PENUH SKUAD PIALA DUNIA ENGLAND:

PENJAGA GOL: Joe Hart (Manchester City), David James (Portsmouth), Robert Green (West Ham).

PERTAHANAN: Leighton Baines (Everton), Jamie Carragher (Liverpool), Ashley Cole (Chelsea), Michael Dawson (Tottenham), Rio Ferdinand (Manchester United), Glen Johnson (Liverpool), Ledley King (Tottenham), John Terry (Chelsea), Matthew Upson (West Ham), Stephen Warnock (Aston Villa).

TENGAH: Gareth Barry (Manchester City), Michael Carrick (Manchester United), Joe Cole (Chelsea), Steven Gerrard (Liverpool), Tom Huddlestone (Tottenham), Adam Johnson (Manchester City), Frank Lampard (Chelsea), Aaron Lennon (Tottenham), James Milner (Aston Villa), Scott Parker (West Ham), Theo Walcott (Arsenal), Shaun Wright-Phillips (Manchester City).

PENYERANG: Darren Bent (Sunderland), Peter Crouch (Tottenham), Jermain Defoe (Tottenham), Emile Heskey (Aston Villa), Wayne Rooney (Manchester United).

Artikel Lain