suria

Jepun, Jerman Mara Ke Suku Akhir Piala Thomas

KUALA LUMPUR: Jepun dan Jerman menempah tiket ke suku akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas selepas masing-masing mencipta kemenangan pada perlawanan peringkat kumpulan di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini hari ini.

Jepun, pasukan pilihan keenam, menewaskan Nigeria 5-0 sebelum mengakhiri jadual perlawanan peringkat kumpulan B menentang Malaysia esok.

Dalam pada itu, Jerman turut mencatatkan keputusan sama menentang Poland sebelum berdepan dengan Denmark pada saingan kumpulan C esok.

Bintang baru Jepun, Kenichi Tago, yang muncul naib juara All England Mac lalu, memungut mata pertama dengan menewaskan Fagbemi Olaoluwa 21-10, 21-14.

Jepun mengumpul mata kedua menerusi gandingan Kenichi Hayakawa/Kenta Kazuno yang mengalahkan Adamu Ibrahim/Edicha Ocholi 21-5, 21-13.

Perseorangan kedua Jepun, Sho Sasaki menewaskan Ifraimu Jinkam 21-4, 21-14 diikuti Shoji Sati mengalahkan Abah Eneojo 21-9, 21-11.

Jepun mengutip mata muktamad menerusi beregu Noriyasu Hirata/Hirokatsu Hashimoto yang menumpaskan Fagbemi Olaoluwa/Ifraimu Jinkam 21-4, 21-13.

Sementara itu, Marc Zwiebler menyumbang mata pembukaan untuk Jerman apabila menewaskan pemain Poland Przemyslaw Wacha 21-15, 26-24.

Gandingan Ingor Kinderwater/Michael Fuchs menjinakkan Adam Cwalina/Michal Logosz 21-16, 21-16 dan Dieter Domke mengatasi Michal Rogalski 21-8, 21-17 untuk kedudukan 3-0 bagi pasukan Jerman.

Beregu kedua Jerman Kristof Hopp/Johannes Schoettler menambah mata keempat apabila mengalahkan Lukasz Moren/Przemyslaw Wacha 18-21, 21-17, 21-18 sebelum mata terakhir perolehi menerusi Marcel Reuter yang menewaskan Hubert Paczek 16-21, 21-19, 21-18. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain