suria

Persembahan Malaysia Menyakinkan Walaupun Tewas

IPOH: Malaysia menampilkan persembahan memberangsangkan sebelum tewas 1-2 kepada juara dunia Australia pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Walaupun tewas dengan jaringan tipis, anak buah Stephen Van Huizen mampu memberi saingan sengit sepanjang perlawanan sehingga memaksa Australia bekerja keras untuk mendapatkan mata penuh.

Australia membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi Christopher Ciriello yang menyempurnakan pukulan sudut penalti yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol negara S. Kumar.

Gol awal itu tidak sama sekali mematahkan semangat pemain negara yang terus mencari peluang dengan melancarkan gerakan kemas ke atas kubu Australia.

Serangan balas pantas pasukan Malaysia itu akhirnya membuahkan hasil apabila Azlan Misrom menyamakan kedudukan dua minit kemudian menerusi pukulan sudut penalti.

Gol penyamaan tersebut menyuntik semangat pasukan negara untuk terus memberi saingan dengan kedua-dua benteng pertahanan terpaksa berusaha keras untuk menggagalkan peluang terbaik menjaringkan gol.

Bagaimanapun, tolakan deras Matt Gohdes pada minit ke-59 berjaya menewaskan Kumar sekali lagi untuk Australia mencipta kemenangan kedua dalam kejohanan itu.

Kemenangan tipis itu membolehkan Australia menduduki tangga kedua dengan enam mata manakala Malaysia berada di tangga kelima dengan dua mata selepas seri dengan Pakistan dan Korea Selatan sebelum ini.

Sementara itu, juara bertahan India berjaya mencipta kemenangan kedua apabila menewaskan Korea Selatan 3-2.

India kini menduduki tangga teratas dalam saingan tujuh pasukan dengan mengumpul tujuh mata selepas seri 1-1 dengan China dan membenam Pakistan 4-2 sebelum ini.

Pada pertarungan sengit itu, India mendahului kedudukan pada minit ke-10 melalui jaringan Arjun Halappa sebelum Korea Selatan membalas gol penyamaan tiga minit kemudian menerusi pukulan sudut penalti oleh Ham Hyun Woo.

Jaringan seri itu bertahan sehingga separuh masa pertama sebelum India bangkit pada babak kedua dengan jaringan dua gol oleh Khanker Tushar pada minit ke-45 dan Shivendra Singh pada minit ke-60.

Bagaimanapun, Korea Selatan, merapatkan jaringan menerusi Nam Hyun Woo sekali lagi pada minit ke-70.

Korea Selatan kini menduduki tangga keempat dengan empat mata selepas tiga perlawanan. Pada perlawanan lain, Pakistan mencipta kemenangan pertama selepas membelasah China 6-2.

Kedua-dua pasukan itu terikat 2-2 pada separuh masa pertama.

Bagaimanapun, Pakistan memperkemaskan corak perlawanan dengan mengatur serangan bertubi-tubi untuk menghasilkan empat gol pada babak kedua. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain