suria

Lebih Banyak Gelanggang Pemotoran Akan Dibina

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu akan membina lebih banyak gelanggang sukan permotoran dalam usaha mencungkil bakat baru dalam sukan itu di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Datuk Rahin Mohd Said berkata setakat ini kerajaan negeri telahpun membina gelanggang seumpama itu di Gong Badak, yang menelan belanja RM400,000.

"Kita harap pembinaan gelanggang permotoran ini secara tidak langsung akan dapat mengatasi masalah mat rempit di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pameran automotif di Kompleks Muzium Negeri Terengganu, di sini hari ini.

Katanya, satu perhimpunan kelab permotoran negeri Terengganu yang dijangka dihadiri 10,000 peminat motor akan diadakan di Stadium Tertutup di Gong Badak pada 18 Mei ini.

Dalam perkembangan lain, Rahin berkata tender untuk pembinaan veledrom basikal yang pertama seumpamanya di Terengganu di Kampung Che Lijah, Dungun akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Rahin berkata velodrom yang berharga lebih kurang RM2 juta itu sepatutnya sudahpun siap tahun ini jika cadangan pembinaan asalnya diterima oleh penduduk Kampung Sura.

Artikel Sebelum

Artikel Lain