suria

Kompleks Futsal Putrajaya Abadikan Nama Mokhtar Dahari

PUTRAJAYA: Gelanggang utama Kompleks Futsal Putrajaya yang dibuka dengan rasminya hari ini mengabadikan nama Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari sebagai memperingati jasa jaguh bola sepak negara dan rantau Asia itu.

Perasmian kompleks yang mempunyai 11 gelanggang itu disempurnakan oleh Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata selain sebagai tanda penghormatan, ia juga bertujuan meniup semangat anak-anak muda untuk mengejar kegemilangan sebagaimana yang pernah dicapai Allahyarham.

Beliau berkata fasa pertama kompleks futsal itu menelan kos RM3.4 juta dan disiapkan dalam tempoh 40 hari dengan kualiti yang tinggi mengikut spesifikasi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa FIFA.

"Fasa kedua kompleks dijangka siap sepenuhnya pada November ini yang akan menjadi sebagai gelanggang futsal utama dengan tempat duduk grand stand seramai 1,000 penonton," katanya semasa berucap pada majlis perasmian kompleks itu di sini hari ini.

Kompleks itu juga akan menjadi venue utama untuk Rentap Futsal dari 14 hingga 16 Mei ini sempena Hari Belia Negara, yang akan berlangsung selama 60 jam tanpa henti.

Pada majlis perasmian itu satu pertandingan futsal antara pasukan pilihan Menteri Belia dan Sukan dan pasukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut diadakan yang dimenangi pasukan futsal FAM dengan jaringan 5-1. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Chong Wei Jadi Duta Samsung

Artikel Lain