suria

Lee Hyun Il Sedia Berkhidmat Untuk Korea

KUALA LUMPUR: Semangat patriotisme kepada negara dan jurulatihnya menjadi punca bekas pemain perseorangan lelaki terkemuka Korea Selatan Lee Hyun Il, membuat keputusan keluar daripada persaraan untuk beraksi dalam final Piala Thomas yang bermula di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini Ahad ini. Jurulatih perseorangan lelaki Korea Selatan dari China, Li Mao, berkata beliau berjaya memujuk Lee untuk menyertai pasukan itu memandangkan beliau berpendapat pemain berkenaan masih mempunyai daya saing dalam arena antarabangsa.

"Lee Hyun Il menarik diri daripada arena antarabangsa selepas Olimpik Beijing pada 2008. Bagaimanapun beliau masih bermain secara aktif dalam kejohanan tempatan di Korea Selatan dan merupakan seorang pemain yang amat sukar ditewaskan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Selain Lee, Korea Selatan membariskan Park Sung Hwan, Shon Wan Ho, Hong Ji Hoon untuk acara perseorangan manakala cabaran dalam acara beregu akan digalas oleh Shin Baek Cheol/Ko Sung Hyun, Yoo Yeon Seong/Jung Jae Sung dan Kim Ki Jung/Cho Gun Woo.

Li Mao percaya jika Lee terus bermain di pentas antarabangsa, beliau akan berupaya menduduki empat tempat teratas dalam ranking dunia perseorangan lelaki.

Ditanya sama ada beliau akan mempertaruhkan Lee dalam semua perlawanan, Li Mao berkata terpulang kepada pasukan itu untuk membuat keputusan.

"Bagaimanapun saya percaya pemain perseorangan lelaki terkemuka yang lain masih menghormati Lee Hyun Il dan anak-anak buah saya mungkin melakukan up-set dan seterusnya melonjakkan semangat untuk pasukan kami," katanya.

Korea Selatan diundi dalam Kumpulan A bersama China dan Peru. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain