suria

Skuad England: Capello Mungkin Panggil Semula Sol Campbell

CAKAP-CAKAP dari London kini kuat mengatakan selain penyerang sensasi Fulham musim ini Bobby Zamora, ada kemungkinan Pengurus England, Fabio Capello akan memanggil semula kuda tua Arsenal, Sol Campbell untuk menyertai kem latihan skuad Piala Dunia England.

Andaian ini dibuat setelah pihak media mendapat maklumat yang Capello akan bertandang ke perlawanan terakhir Arsenal menentang finalis Piala Liga Eropah Fulham Ahad ini. Capello juga dikatakan ingin melihat sendiri prestasi memuncak Teo Walcott dan juga Zamora untuk kali yang terakhir sebelum tirai liga dilabuhkan.

Sol Campbell yang kini berusia 35 tahun telah kembali menyarung jersi Arsenal seawal tahun ini dan telah memperlihatkan kemampuannya sepertimana masa-masa dahulu dan ini mendorong Capello untuk membuat penilaian terakhir sebelum menyerahkan senarai rasmi 23 pemain kepada Fifa.

Nampaknya kebimbangan Capello ke atas barisan pemain pertahanan tengahnya telah menyaksikan nama Campbell kembali berada dalam minda pengurus England itu.

Ini kerana, Capello masih ragu-ragu sama ada kecergasan Rio Ferdinand akan kembali pulih seperti sediakala menjelang pertengahan Jun nanti. Jika statistik hendak diambil kira, Ferdinand hanya bermain dalam 11 perlawanan liga bersama Manchester United musim ini kerana kecederaan belakang yang dialaminya sepanjang musim.

Sementara Joleon Lescott dan seorang lagi pemain pertahanan veteran United, Wes Brown turut diganggu dengan kecederaan yang berpanjangan dan tidak bermain secara regular bersama kelab masing-masing.

Capello perlu membuat keputusan segera siapakah yang akan dia bawa ke Afrika Selatan sebelum 17 Mei ini iaitu tarikh di mana skuad England akan berlepas ke kem latihan mereka di Austria.

Selain Campbell, Capello juga tidak mempunyai banyak pilihan melainkan terpaksa melihat kepada pasangan pertahanan Tottenham Hotspur - Ledley King dan Michael Dawson yang salah seorang daripadanya juga dibelenggu kecederaan manakala seorang lagi tidak berpengalaman.

Ini menjadikan pemain pertahanan Everton, Phil Jagielka turut diletakkan dalam senarai pilihan Capello tetapi dalam kejohanan sebesar Piala Dunia, pengalaman dan bukannya umur yang akan menjadi kreteria utama apabila Capello membuat pilihan terakhirnya.

Campbell telah mewakiki England sebanyak 73 kali dan pernah beraksi dalam dua kejohanan Piala Dunia dan itu sangat bermakna dalam konteks kejohanan Piala Dunia walaupun kali terakhir dia beraksi buat skuad kebangsaan ialah dalam perlawanan menentang Croatia pada November 2007 dalam pasukan di bawah bimbingan Steve McClaren.

Sementara itu, Zamora,29, pula walaupun tidak pernah dipilih mewakili England tetapi prestasi luar biasanya musim ini telah membawa Fulham ke perlawanan akhir Liga Eropah (dulu dikenali sebagai Piala UEFA).

Pada masa yang sama, Capello juga telah menugaskan para pembantunya seperti Franco Baldini berkunjung ke perlawanan akhir West Ham menentang Manchester City untuk menilai prestasi penjaga gol Robert Green, pemain pertahanan Matthew Upson dan Carlton Cole. Begitu juga dengan pemain sayap Manchester City yang menjadi bualan ramai sekarang, Adam Johnson.

Capello baru-baru ini secara spesifik mengenalpasti pemain sayap berusia 22 tahun itu sebagai calon berpotensi untuk dipertimbangkan menyertai skuad Piala Dunianya.

Dan Capello secara peribadi akan membuat penilaian terakhirnya apabila England menentang Mexico di Wembley pada 24 Mei dan kemudiannya menentang Jepun di Graz, Austria, pada 30 Mei.

Artikel Sebelum

Artikel Lain