suria

Misbun, Rashid Kembali Bertugas

KUALA LUMPUR: Jurulatih badminton negara Datuk Misbun Sidek dan Rashid Sidek akan kembali menjalankan tugas esok setelah disahkan sihat dan tamat tempoh kuarantin.

Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata pihaknya akan terus memantau kesihatan para pemain, jurulatih serta pegawai yang terlibat dalam kejohanan Piala Thomas dan Uber yang akan bermula Ahad ini hingga 16 Mei di Stadium Putra Bukit Jalil.

"Walaupun Misbun dan Rashid sudah ok, kami tidak mahu ambil mudah perkara ini. Kami akan terus pantau (kesihatan pemain) dan sentiasa berwaspada," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Mengumpul Satu Juta Tandatangan Menyokong Pasukan Badminton Negara di sini hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri dan Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datin Seri Rosmah Mansor, Presiden BAM Datuk Nazdmi Salleh serta pasukan Piala Thomas dan Uber negara.

Minggu lepas, Rashid serta isteri dan anaknya disahkan positif H1N1 manakala Misbun terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak meninggalkan rumah apabila kedua-dua anaknya mengalami demam panas.

Ramlan berkata sepanjang kejohanan itu berlangsung, satu 'booth' khas disediakan di Stadium Putra untuk membolehkan orang ramai memeriksa suhu badan mereka.

Artikel Sebelum

Artikel Lain