suria

Malaysia Sasar Ke Final Hoki Piala Sultan Azlan Shah

KUALA LUMPUR: Malaysia mensasarkan untuk sekurang-kurangnya layak ke perlawanan akhir kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-19 yang akan berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak bermula Khamis ini.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) Hashim Mohamed Yusoff berkata sasaran itu adalah bagi mengulangi pencapaian skuad kebangsaan pada edisi lepas yang mara ke perlawanan akhir sebelum tewas kepada India 1-3.

"Sekiranya berjaya layak ke perlawanan akhir, kita akan berusaha untuk mencapai kejuaraan. Namun biarlah kita layak ke perlawanan akhir terlebih dahulu," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penajaan kejohanan itu petang ini.

Hashim berkata skuad kebangsaan yang kini dibimbing dua jurulatih tempatan, Steven Stephen Van Huizen dan Tai Beng Hai telah menjalani latihan sejak 20 Feb lepas bagi menghadapi kejohanan yang melibatkan tujuh negara itu.

Sementara itu, pengurus pasukan kebangsaan George Koshy berkata pemain-pemain kini giat menjalani latihan persediaan di Ipoh dan akan menentang Mesir pada perlawanan persahabatan esok.

"Selepas perlawanan itu, kita akan mengumumkan 18 pemain yang akan menggalas cabaran negara dan seterusnya menguji mereka lagi pada perlawanan persahabatan menentang Australia pada Selasa," katanya.

Beliau berkata, pasukan itu akan terdiri daripada gabungan pemain-pemain baru dan lama dengan matlamat utama adalah membentuk pasukan yang mantap bagi menghadapi Sukan Asia dan Komanwel pada penghujung tahun ini.

"Kita akan memberikan persembahan yang terbaik pada kejohanan ini dengan cuba memenangi setiap perlawanan yang diharungi," katanya.

Pada kejohanan yang dijalankan secara liga satu pusingan itu, Malaysia akan membuka saingan menentang Pakistan pada Khamis diikuti Korea Selatan (Jumaat), Australia (Ahad), Mesir (10 Mei), India (12 Mei) dan China (13 Mei).

Sekiranya berjaya muncul dua pasukan terbaik, Malaysia akan mara ke perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung pada 16 Mei.

Sejak mula dipertandingkan pada 1983, Malaysia masih gagal bergelar juara. Pencapaian terbaik adalah sekadar muncul naib juara pada 1985, 2007 dan tahun lepas.

Artikel Lain