Promosi Piala Thomas, Uber Hambar

Diterbitkan: Sabtu, 1 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Walaupun hanya berbaki lapan hari lagi sebelum berlangsungnya kejohanan badminton Piala Thomas dan Uber di Stadium Putra, Bukit Jalil, usaha mempromosikan kejohanan berprestij itu jelas masih hambar.

Hasil tinjuan Bernama di sekitar ibu negara dan pintu masuk utama negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang mendapati tiada satu pun sepanduk atau kain rentang mengenai kejohanan terbabit.

Rata-rata peminat badminton tempatan melahirkan perasaan kecewa dengan sikap penganjur kejohanan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang seolah-olah memandang rendah mengenai mengenai promosi terbabit.

Azrul Anuwar Abdullah, 35 tahun berkata, sepatutnya pihak yang diberi tanggungjawab mula mempromosikan kejohanan ini sejak awal tahun lepas lagi dan bukannya menunggu saat-saat akhir untuk membuat promosi.

"Kita bukan sahaja hendak menarik rakyat Malaysia, malah peminat-peminat luar negara untuk turut datang menonton kejohanan ini," katanya ketika ditemui Bernama di balai ketibaan antarabangsa di KLIA, hari ini.

Beliau yang merupakan seorang pegawai eksekutif produksi sebuah syarikat swasta berpendapat kejohanan ini merupakan peluang terbaik yang seharusnya diguna secara bijak oleh pihak bertanggungjawab dalam menjana pendapatan dari industri sukan kerana badminton merupakan salah satu daripada sukan yang diminati ramai.

Seorang lagi peminat badminton, Ramli Buang, 50 tahun dari Sarawak turut melahirkan rasa kecewanya dengan situasi terbabit.

"Bukan selalu kita berpelung untuk menjadi tuan rumah. Jadi apa salahnya jika peluang ini diguna sepenuhnya oleh penganjur mempromosikannya secara besar-besaran.

"Rata-rata rakyat di Sarawak dan Sabah tidak mengetahui tarikh sebenar kejohanan ini," katanya yang kecewa dengan situasi terbabit yang jelas berpunca daripada kekurangan promosi.

Ramli berkata, promosi melalui media massa dan pelbagai saluran lain lagi sepatutnya bermula awal tetapi berlaku sebaliknya dengan ketiadaan kain rentang atau poster di sekitar KLIA yang merupakan antara pintu masuk utama ke negara ini.

"Sepatutnya pihak penganjur mempergiatkan usaha promosi bagi memberikan semangat kepada pemain-pemain kita yang akan mewakili negara serta mengibarkan bendera Malaysia di peringkat antarabangsa," kata Nurul Liyana Samsul, seorang penuntut di sebuah kolej swasta di ibu negara, yang ditemui di stesen LRT Bukit Jalil.

Sementara itu, tinjuan Bernama di Stadium Putra mendapati poster-poster kejohanan Piala Thomas dan Uber adalah kurang dan hanya tertumpu di tempat tertentu sahaja.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah bagi kejohanan Piala Thomas adalah pada tahun 2000 namun skuad negara gagal menyerlah pada edisi tersebut.

Sementara itu, kali terakhir Malaysia bergelar juara adalah pada 1992 dalam kejohanan yang berlangsung di Stadium Negara apabila menumpaskan Indonesia 3-2.

Senarai pemain Piala Thomas 2010 :

1. Datuk Lee Chong Wei

2. Wong Choon Hann

3. Hafiz Hashim

4. Tan Chung Seang

5. Koo Kien Keat

6. Tan Boon Heong

7. Mohd Zakry Abd Latif

8. Fairuzizuan Tazari

9. Hoon Thien How

10.Ong Soon Hock

Senarai pemain Piala Uber 2010 :

1. Wong Mew Choo

2. Sannatasah Saniru

3. Sonia Cheah

4. Tee Jing Yi

5. Chin Ee Hui

6. Wong Pei Tty

7. Woon Khe Wei

8. Vivian Ho

9. Goh Liu Ying

10.Ng Hui Lin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan