suria

O'Brien Kuasai Peringkat Terakhir, Mc Cann Kekal Jersi Kuning

KUALA PERLIS: Pelumba pasukan Le Tua Cycling Team Mark O'Brien menguasai peringkat terakhir Jelajah Malaysia 2010 dari Sungai Petani ke Kuala Perlis hari ini.

Dalam perlumbaan melibatkan jarak 195km itu, O'Brien mencatatkan masa empat jam, 37 minit dan 10 saat untuk tiba di garisan penamat, 39 saat mengatasi pelumba Iran Mohammad Zangi Abadi yang mewakili pasukan Vali Asr Kerman.

Di tempat ketiga adalah pelumba Team Medscheme Waylon Woolock, dengan catatan yang sama 4:37:49.

"Ia hari yang sangat sangat panjang dan saya gembira kerana akhirnya menang. Tumpuan lebih kepada usaha memenangi acara berpasukan dan kami melakukannya," kata O'Brien.

Jersi kuning bagi pelumba terbaik keseluruhan dimenangi oleh David McCann daripada pasukan Giant Asia Racing Team selepas mencatatkan masa keseluruhan 18 jam 56 minit dan 40 saat.

Ketinggalan satu minit dan 40 saat adalah Takumi Beppu yang mewakili Aisan Racing Team untuk tempat kedua manakala pelumba Malaysia Amir Mustafa Rusli di tempat ketiga dengan masa keseluruhan 18 jam 57 minit 41 saat.

"Ia tidak semudah seperti yang dilihat selepas menyarung jersi kuning sejak peringkat kedua, banyak tekanan buat saya untuk mengekalkannya sepanjang masa," kata McCann yang berusia 37 tahun itu.

Sementara itu, jersi hijau bagi Raja Pecut dimenangi pelumba Afrika Selatan Malcolm Lange yang mewakili Team Medscheme, yang mengumpulkan 53 mata manakala pelumba Indonesia Matnur daripada pasukan Polygon Sweet Nice muncul selaku Raja Bukit dengan mengumpulkan lapan mata.

Bagi pelumba negara, Amir Mustafa, yang memenangi dua jersi, jersi putih (pelumba terbaik Asean) dan jersi biru (pelumba terbaik Malaysia), kemenangan itu sedikit sebanyak memberikan kepuasan kepada mereka. "Pelumba Malaysia menang dua peringkat perlumbaan dalam Jelajah Malaysia tahun ini jadi kami mencapai sesuatu berbanding tidak memenangi apa-apa langsung. Hari ini, saya cuba untuk melakukan pecahan tetapi David (McCann) sentiasa memerhatikan saya, jadi ia sukar," kata Amir Mustafa.

Bagi pasukan terbaik keseluruhan, pasukan benua pertama Malaysia Le Tua Cycling Team muncul juara dengan masa keseluruhan 56 jam, 57 minit dan 24 saat manakala di tempat kedua dan ketiga adalah pasukan Team Medscheme dan Giant Asia Racing Team, dengan masing-masing mencatatkan 57:01:52s dan 57:04:17s.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain