Larian Baton Sukma Kini Di Dun Ayer Molek - Sukan | mStar

Larian Baton Sukma Kini Di Dun Ayer Molek

Diterbitkan: Sabtu, 1 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Acara larian baton Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 tiba di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek di sini hari ini dengan kira-kira 3,000 peserta mengambil bahagian.

Larian peringkat ke-16 melibatkan jarak sejauh 42 kilometer bermula di Kompleks Japerun Ayer Molek dan dirasmikan oleh Anggota DUN berkenaan Datuk Md Yunos Husin.

Institusi pengajian tinggi awam dan swasta, jabatan dan agensi kerajaan serta usahawan kecil dan sederhana memeriahkan acara dengan mengadakan pameran dan gerai jualan di kawasan Kompleks Japerun.

Larian peringkat pertama bermula di DUN Kuala Linggi pada 28 Feb lepas dan akan menjelajah kesemua 28 DUN sebelum berakhir di DUN Paya Rumput pada 12 Jun ini, iaitu pada hari perasmian Sukma di Stadium Hang Jebat.

Bercakap kepada pemberita, Md Yunos berkata larian baton kali ini merupakan larian baton terpanjang kerana beliau mahu setiap penduduk di DUN Ayer Molek merasai bahang Sukma yang akan diadakan bermula 10 hingga 19 Jun depan yang mempertandingkan 33 acara sukan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Melaka mahu usahawan di negeri itu merebut peluang untuk memasarkan produk masing-masing ketika Sukma berlangsung nanti.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan