suria

Melaka, Tuan Rumah Sukma Sasar 60 Pingat Emas

KUALA LUMPUR: Melaka, tuan rumah kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) tahun ini, mensasarkan 60 daripada 400 pingat emas yang dipertandingkan.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, beliau yakin sasaran tersebut mampu dicapai berdasarkan maklum balas positif daripada atlit, serta usaha jurulatih yang bertungkus lumus bagi mempersiapkan atlit negeri itu menghadapi kejohanan itu yang akan diadakan pada 10 hingga 19 Jun ini.

Para atlit yang memenangi pingat akan diberi ganjaran - yang memenangi pingat emas, akan diberi RM3,000, perak RM2,000 dan gangsa RM1,000, kata beliau.

"Ini adalah sebagai pembakar semangat untuk mereka tingkatkan pencapaian masing-masing," katanya dalam rancangan bual bicara Bernama TV 'Hello Malaysia' malam tadi.

Pada Sukma ke-12 di Terengganu dua tahun lepas, Melaka hanya memperoleh 42 emas.

Mohd Ali berkata, kerajaan negeri telah membelanjakan RM2 juta untuk latihan dan persiapan atlit dalam menghadapi cabaran Sukma kali ini, serta telah memperuntukkan RM105 juta bagi pembangunan infrastruktur dan RM40 juta untuk pengurusan penganjuran temasya tersebut.

Perasmian Sukma akan berlangsung di Stadium Hang Jebat, bertemakan "Harmoni dan Cemerlang-Perpaduan Remaja Melalui Sukan" dan melibatkan 33 acara sukan, termasuk golf, kabbadi, kanu dan perahu layar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain