suria

KL Rampas Semula Kedudukan Teratas Divisyen Satu

KUANTAN: Kuala Lumpur kembali melonjak untuk menerajui liga Divisyen Satu selepas menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak ke-48 di Stadium Hoki Wisma Belia di sini, semalam.

Mohd Amin Rahim menjadi wira pasukan Kuala Lumpur apabila menjaringkan gol kemenangan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-63 untuk membantu pasukan itu mendahului liga dengan 10 mata selepas empat perlawanan.

Sebelum itu, Kuala Lumpur membuka jaringan pada minit ke-10 menerusi Mohd Razie Abd Rahim sebeluk Negeri Sembilan menyamakan kedudukan melalui pukulan sudut penalti S. Kuhan pada minit ke-33.

Dalam dua lagi perlawanan Disyen Satu, menyaksikan juara bertahan Melaka akhirnya berjaya mencipta kemenangan pertama dalam empat perlawanan selepas menewaskan Angkatan Tentera (ATM) 2-0.

Gol pasukan Melaka berjaya disumbangkan melalui jaringan padang oleh Azrul Effedny Bistamam minit ke-62 sebelum Ahmad Anuar Sham Kamar menutup tirai jaringan enam minit kemudian melalui jaringan padang.

Sementara itu, Pulau Pinang memperoleh kemenangan kedua dalam tiga perlawanan selepas mengatasi Johor 4-2.

Pulau Pinang mula mengorak langkah menerusi jaringan padang minit ke-25 oleh Izwan Firdaus Tajuddin sebelum Johor bangkit dengan dua gol melalui pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh S.S.Baljit Singh pada minit ke-40 dan 43.

Susulan daripada jaringan itu, Pulau Pinang kembali agresif dengan membuat tiga jaringan tambahan yang disempurnakan oleh Izwan Firdaus pada minit ke-59 dan 65 dan Ahmad Termidzi Ismail pada minit ke-60.

Dalam saingan Divisyen Dua di Padang Majlis Sukan Pahang, Singapura mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Kumpulan A apabila membelasah Sabah 7-1.

Gol Singapura dihasilkan oleh Silas Abdul Razak pada minit kesembilan, S. Johnson (29), Hazmi Ibrahim (35), Enrico Elifh Marican (42, 64), Sabri Yuhari (55, 61) manakala gol saguhati Sabah berjaya dijaringkan oleh Dick Cheny Waili pada minit ke-52.

Dalam satu lagi perlawanan, pasukan Polis (PDRM) mencapai kemenangan pertama apabila menewaskan Kedah 2-0.

Gol PDRM berjaya diperolehi menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Azrul Shah Ramli pada minit ketiga dan jaringan padang oleh Hafriz Alif Mohd Zaid pada minit ke-63.

Jadual perlawanan hari ini:

Divisyen Satu: Stadium Hoki Wisma Belia

Pulau Pinang lwn Negeri Sembilan - 4 petang

Johor lwn Melaka - 6 petang

Perak lwn ATM - 8 malam

Divisyen Dua: Padang Majlis Sukan Pahang

Perlis lwn Brunei - 3.30 petang

Terengganu lwn Selangor - 5.30 petang - BERNAMA

Artikel Lain