suria

Skuad Bola Jaring Remaja Yakin Ulangi Kejayaan Di New Delhi

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) yakin bahawa skuad remaja mampu mengulangi kejayaan pada kejohanan Bola Jaring Remaja Asia yang akan berlangsung di New Delhi, India pada awal Julai ini.

Setiausaha Kehormat PBJM, Mazidah Musa berkata keyakinan tersebut dibuat berdasarkan kejayaan pasukan negara menjadi juara tiga kali berturut-turut sebelum ini sejak 2004.

"Bagi saya adalah bukan mustahil untuk kita mengulangi kejayaan yang sama pada edisi kali ini.

"Lagipun Malaysia masih dikenali sebagai pasukan bola jaring terhebat di rantau ini selepas Singapura," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mazidah berkata rombakan besar terpaksa dibuat ke atas skuad remaja negara atas faktor umur kerana sebilangan besar skuad 2008 melebihi had umur yang ditetapkan oleh pihak penganjur.

"Rombakan ini tidak bermakna bahawa pasukan kita telah kehilangan bisa kerana beberapa pemain berpengalaman seperti Azamah Abdullah, Nor Atikah Mohd Salleh dan Fazira Roslan masih layak untuk mengikuti kejohanan kali ini," katanya.

Beliau berkata pemilihan pemain baru bagi skuad remaja kebangsaan hanya dibuat selepas Kejohanan bola jaring kebangsaan yang akan diadakan di Melaka pada 8-11 April ini.

"Saya harap mereka yang berminat untuk menyertai skuad remaja kebangsaan menguna sebaik mungkin peluang ini agar terpilih untuk mengalas cabaran negara ke New Delhi nanti," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain