suria

Piala Canon: Pasukan Boling Negara Kecundang Di Tangan Pasukan Row

PETALING JAYA: Pasukan boling Malaysia kecundang di tangan pasukan The Rest Of The World (ROW) 2-3 dalam Kejohanan Piala Canon 2010 di Pyramid Megalanes di sini.

Kejayaan menewaskan pasukan tuan rumah membolehkan pasukan ROW itu muncul juara dengan membawa pulang piala kejohanan dan hadiah tunai RM30,000, manakala pasukan negara memperolehi RM15,000.

Piala Canon merupakan sebahagian daripada Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia Canon yang bermula 12 Mac lepas sehingga hari ini.

Pasukan ROW dianggotai juara terbuka wanita Kelly Kulick dari Amerika, naib juara terbuka lelaki Osku Palermaa dari Finland, pemain boling dari Singapura Basil Low, pemain Taiwan Chien Hsiu Lan, dan Yannaphon Larpapharat dari Thailand.

Pasukan Malaysia pula dianggotai juara terbuka lelaki Adrian Ang, Zandra Aziela, Zulmazran Zulkifli, Yusuf Abdul Raof dan Hee Kar Yen.

Pemilihan anggota kedua-dua pasukan yang yang masing-masing terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita itu berdasarkan kepada kedudukan akhir mereka dalam Kejohanan Terbuka Masters Antarabangsa Malaysia Canon ke-33 yang berakhir semalam.

Dua mata yang diperolehi pasukan Malaysia disumbangkan oleh pemain boling wanita negara Hee dan Zandra dalam game kedua dan keempat.

Zandra, yang berhadapan dengan Kulick, menampilkan persembahan mantap dengan lima strike berturut-turut, dan orang ramai terus memberi tepukan gemuruh dengan kehebatannya itu.

Beliau menewaskan Kulick dengan 221 jatuhan pin berbanding 163.

"Selepas beberapa perbincangan dengan jurulatih saya sebelum perlawanan, kami memutuskan untuk membuat beberapa perubahan terhadap cara saya bermain. ia perlawanan yang sengit, tapi Alhamdullilah, saya bernasib baik," katanya ketika ditemui selepas menerima hadiah.

Pemain yang baru dinobatkan sebagai juara, Adrian, bagaimanapun gagal menyumbang mata buat Malaysia dalam perlawanan akhir.

Beliau ditewaskan oleh pencabarnya dari final terbuka lelaki semalam, Osku, dengan memperolehi 201 jatuhan pin berbanding 213. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain