suria

Ronoh Kekalkan Kejuaraan KL Tower International Forest Towerthon

KUALA LUMPUR: Pelumba Kenya Philip Kipkemei Ronoh hari ini menjuarai kategori Lelaki Terbuka KL Tower International Forest Challenge 2010 buat kali kedua berturut-turut.

Pelari berusia 23 tahun itu yang mula mengambil bahagian dalam acara larian jarak jauh di negara ini sejak enam tahun lepas, mengharungi larian sejauh satu kilometer dan mendaki 2,058 anak tangga dalam masa 13 minit 21 saat untuk muncul pemenang.

Peserta Maghribi, Ammad Lamchanak pula ketinggalan 39 saat daripada Ronoh untuk sekadar berpuas hati di tempat kedua manakala seorang lagi pelari jarak jauh Kenya, Antony Kosgei di tempat ketiga dengan masa 14:23 minit.

"Sebenarnya, ini merupakan penyertaan ketiga saya dalam acara ini. Pada 2008, saya berkesudahan di tempat kedua dengan masa 14:06 minit. Saya gembira dapat mencatatkan masa yang lebih baik tahun ini," kata Ronoh.

Tahun lepas, Ronoh memenangi acara itu dengan masa 13:43 minit.

Dengan kemenangan itu, Ronoh membawa pulang pingat emas, sebuah plak, hamper dan wang tunai RM3,000, manakala selaku naib johan dan pemenang ketiga, Ammad serta Kosgei masing-masing menerima RM2,000 dan RM1,000.

Sementara itu, dalam kategori Wanita Terbuka, Natyana Rakkhaphan dari Thailand, muncul juara dengan catatan masa 17:39 minit.

Pemenang kedua ialah wakil Malaysia, Noor Amelia Musa dengan catatan 18:13 minit manakala Jutharat Inwichian dari Thailand pula di tempat ketiga dengan masa 18:53 minit.

Acara KL Tower International Forest Towerthon Challenge 2010 itu diadakan sempena sambutan Hari Hutan Sedunia peringkat kebangsaan hari ini.

Selain kategori Lelaki dan Wanita Terbuka, 13 lagi kategori termasuk kategori media (lelaki dan wanita) turut dipertandingkan.

Kira-kira 3,000 peserta mengambil bahagian dalam edisi kesembilan KL Tower International Forest Towerthon Challenge itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain