suria

Nicol, Ramy Julang Gelaran Terbuka Kuala Lumpur 2010

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara dan pemain Nombor Satu Dunia, Datuk Nicol Ann David hari ini mengalahkan pemain Mesir Omneya Abdel Kawy bagi menjulang gelaran juara kejohanan skuasy Terbuka Kuala Lumpur CIMB yang diadakan di Berjaya Times Square di sini.

Nicol, menewaskan Omneya dalam permainan straight set dengan 11-4, 11-2 dan 13-11 dalam masa hanya 31 minit.

"Ia merupakan permainan hebat. Omneya mencari rentak dalam dua permainan pertama. Apabila beliau masuk dengan bertenaga pada permainan ketiga, saya tahu saya perlu menentangnya habis-habisan.

"Beliau tenang dan tak rugi apa-apa, saya terpaksa menekannya dan menentangnya habis-habisan kerana tidak mahu permainan itu menjadi miliknya," kata pemain kelahiran Pulau Pinang yang berumur 26 tahun itu.

Kemenangan itu merupakan gelaran keenam Nicol dalam kejohanan Terbuka Kuala Lumpur. Sebelum ini, beliau memenangi gelaran itu pada tahun 2000, 2002, 2005, 2007 dan 2008.

"Secara ikhlas, saya sebenarnya tidak sedar bahawa ini merupakan kali keenam saya memenangi gelaran ini," kata Nicol mengenai kemenangannya itu.

Kejohanan ini merupakan kemenangan kedua musim ini selepas Terbuka Chennai awal bulan ini.

Dengan kemenangan itu, Nicol membawa pulang US$8,550 dan menerima trofi manakala Omenya membawa pulang US$6,075.

Dalam acara lelaki final, pemain pilihan utama dan Nombor Satu Dunia, Ramy Ashour dari Mesir menewaskan rakan senegara, Karim Darwish dalam straight set, 11-8, 11-8 dan 11-9 dalam masa 41 minit bagi mencatat kemenangan kelima berturut-turut dalam kejohanan Jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA).

"Keseluruhannya ia merupakan permainan yang hebat. Bagi saya, permainan set terakhir merupakan permainan paling mencabar. Beliau menentang saya habis-habisan dan tidak pernah putus asas. Sudah tentu, saya akan datang kembali tahun depan. Kejohanan ini diterima baik para penonton," kata pemain kelahiran Ashour, Mesir yang menjadi pemain profesional pada tahun 2004.

Terbuka Kuala Lumpur merupakan kemenangan pertamanya di Malaysia kerana beliau tidak pernah memenangi kejohanan di sini sebelum ini.

Untuk kemenangan itu, beliau menerima US$7,600 manakala Karim menerima US$5,200. Pertama kali juara dunia 2008 itu bermain di Malaysia pada Terbuka Malaysia 2004 dan juga Terbuka Kuala Lumpur pada 2006 di mana beliau ditewaskan oleh rakan senegara Wael El Hindi di peringkat separuh akhir Terbuka Malaysia dan tewas kepada pemain Malaysia Ong Beng Hee pada suku akhir Terbuka KL.

Beliau menduduki tempat teratas selepas memenangi dua kejohanan PSA berturut-turut Disember lepas, PSA Masters di India dan Saudi International.

Tahun ini, beliau memenangi J.P. Morgan Tournament of Champions di Virginia, Amerika Syarikat Januari lalu dan Terbuka Amerika Utara 2010 di New York pada Februari. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain