Lebih 1,000 Orang Sertai Larian Baton SUKMA Di Lendu - Sukan | mStar

Lebih 1,000 Orang Sertai Larian Baton SUKMA Di Lendu

Diterbitkan: Sabtu, 20 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR GAJAH: Lebih 1,000 peserta menyertai Larian Baton Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-13, peringkat keempat melibatkan larian di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu di sini, hari ini.

Larian baton sejauh 28 km itu, yang dirasmikan oleh ADUN Lendu, Datuk Idderis Kassim, bermula di Kompleks Japerun Lendu dan berakhir di Dewan Orang Ramai Kampung Baru Lendu.

Peringkat pertama larian baton itu bermula di DUN Kuala Linggi pada 28 Feb lepas diikuti DUN Tanjung Bidara (13 Mac) dan peringkat ketiga di DUN Ayer Limau (14 Mac).

Larian baton itu akan menjelajah ke 24 lagi kawasan DUN sebelum berakhir di DUN Paya Rumput pada 12 Jun depan iaitu hari perasmian temasya sukan berkenaan di Stadium Hang Jebat.

Temasya SUKMA di Melaka bermula 10 Jun hingga 19 Jun dengan mempertandingkan 33 acara sukan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Melaka, Radzi Shaari berkata objektif larian baton itu bagi menghebahkan temasya sukan berkenaan kepada semua penduduk Melaka.

Beliau berkata baton SUKMA kali ini diperbuat dari perak bersadur emas bermotifkan corak bunga kesidang iaitu bunga rasmi negeri Melaka.

"Kita tempah baton ini di Kuala Kangsar, Perak dari syarikat yang buat pingat-pingat kebesaran negeri Melaka," katanya.

Katanya apabila temasya sukan itu berakhir, baton itu akan disimpan di muzium sebagai bahan sejarah negeri itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan