suria

Sukma: Melaka Sasar Tiga Emas Daripada Karate

MELAKA: Persatuan Karate-Do Melaka (MAKA) mensasarkan untuk merangkul tiga pingat emas daripada 16 kategori acara karate yang akan dipertandingkan pada Sukan Malaysia (Sukma) Ke-13 di Melaka, Jun depan.

Timbalan Presiden MAKA Lau Puan Long berkata MAKA mensasarkan tiga emas daripada kalangan empat atlet harapan mereka iaitu R.Arun (kumite lelaki bawah 55kg), R.Govinash (kumite lelaki bawah 60kg), Rozira Abu (kumite wanita atas 68kg) dan Tong Yan Ting (kumite wanita bawah 50kg).

MAKA telah menyenaraikan 13 atlet untuk menyertai 14 daripada 16 kategori acara karate yang akan dipertandingkan nanti, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Temasya Sukma Ke-13 yang mempertandingkan 33 jenis sukan akan berlangsung dari 10 hingga 19 Jun depan.

Lau berkata sembilan lagi atlet ialah Wong Jen Wei (kumite lelaki bawah 75kg dan kata lelaki individu), G.Jegatheis (kumite lelaki bawah 60kg), Mohd Saifullah Mahamod (kumite lelaki bawah 84kg), N.Vitian (kumite lelaki atas 84kg).

M.Vikneshwari (kumite wanita bawah 45kg), R.Hanita Rajah (kumite wanita bawah 55kg), Lee Ee Li (kata wanita individu), Lim Eu May (kumite wanita bawah 61kg) dan Ong Gui Ying (kumite wanita bawah 68kg).

Beliau yang juga pengurus pasukan berkata pada Sukma Ke-12 di Terengganu dua tahun lepas, pasukan karate Melaka berjaya memperoleh satu pingat emas melalui R.Jayaraj (kumite lelaki bawah 75kg) tetapi Jayaraj tidak akan mengambil bahagian pada temasya kali ini kerana telah melebihi had umur 23 tahun bagi atlet sukan itu.

Tiga belas atlet ini mula menjalani latihan selepas Sukma di Terengganu sebagai persediaan menghadapi temasya kali ini, katanya.

Beliau berkata sebagai latihan, MAKA akan menghantar pasukannya ke Kejohanan Karate Remaja & Kadet Kebangsaan pada 7 hingga 11 April ini di Pulau Pinang dan Kejohanan Karate Senior Kebangsaan pada 5 hingga 9 Mei di Sabah.

"Oleh kerana kita takut atlet tercedera dalam mengambil bahagian di kejohanan tersebut, kita nak mereka berhati-hati dan untuk mendapatkan pengalaman saja, kita tidak akan bertempur bermati-matian untuk kemenangan," katanya.

Beliau berkata dua kejohanan itu akan menjadi medan untuk MAKA dan atlet sendiri melihat kemampuan lawan mereka kerana peserta kejohanan itu nanti majoritinya adalah atlet yang akan mengambil bahagian pada Sukma nanti. - BERNAMA

Artikel Lain