suria

Nicol Jumpa Waters Pada Separuh Akhir Terbuka KL

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David menewaskan pemain Australia Kasey Brown untuk berdepan dengan Alison Waters dari England pada separuh akhir Kejohanan Terbuka Kuala Lumpur CIMB 2010 di sini esok.

Dalam saingan suku akhir di Berjaya Times Square di sini malam ini, Nicol, pemain nombor satu dunia, mengambil masa 43 minit untuk menundukkan Brown 12-10, 14-12 dan 11-1.

"Sebaliknya perlawanan menentang Kasey (Brown) adalah sukar. Selepas Terbuka Chennai, saya menjangka dia akan melakukan sesuatu dan saya sedar dan tahu bahawa ianya bukan mudah," kata Nicol kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Terdahulu itu, Waters, pemain pilihan ketiga, layak ke separuh akhir selepas berjuang selama sejam sebelum mengalahkan pemain bukan pilihan Samantha Teran dari Mexico 11-5, 11-2, 8-11, 11-13 dan 12-10.

Dalam satu lagi perlawanan suku akhir, pemain pilihan kedua Jenny Duncalf dari England mara ke separuh selepas rakan senegara Laura Lenghthorn-Massaro terpaksa berundur pada set keempat selepas mengalami kecederaan di pergelangan kaki.

Duncalf akan menentang pemain pilihan keempat Omneya Abdel Kawy dari Mesir pada saingan separuh akhir. Omneya menumpaskan Madeline Perry dari Ireland 12-10, 7-11, 11-5 dan 11-7.

JADUAL SEPARUH AKHIR ESOK:

LELAKI:

[2] Karim Darwish (MESIR) mln Mohd Azlan Iskandar (MAS) 4.30pm

[1] Ramy Ashour (MESIR) mln [8] Ong Beng Hee (MAS) 5.30pm

WANITA:

[2] Jenny Duncalf (ENG) mln [4] Omneya Abdel Kawy (MESIR) 6.30pm

[1] Nicol David (MAS) mln [3] Alison Waters (ENG) 7.30pm - BERNAMA

Artikel Lain