Saluran Sukan 24-Jam Astro Arena Bermula 26 Mac

Diterbitkan: Khamis, 18 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Peminat sukan tanah air berpeluang menyaksikan siaran sukan yang hampir keseluruhan kandungannya dalam Bahasa Malaysia melalui saluran 24-jam Astro Arena mulai 26 Mac ini.

Para peminat sukan berpeluang mendekati perkembangan atlet negara dan melihat pencapaian mereka secara langsung di pelbagai acara sukan, termasuk Sukan Komanwel di New Delhi, India, Sukan Asia di Guangzhou, China dan Sukan Olimpik Belia yang pertama di Singapura tahun ini.

Ia akan disiarkan melalui saluran 801 di stesen televisyen berbayar Astro.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek ketika melancarkan saluran itu di sini hari ini berkata Astro Arena dapat memainkan peranan dalam menyiarkan sukan tempatan dan menyokong aspirasi negara dalam memupuk kecemerlangan sukan tanah air.

"Pelancaran pada hari ini sememangnya tepat pada waktunya, selari dengan pengumuman Kementerian Pelajaran yang akan memperkenalkan sukan sebagai mata pelajaran di sekolah dan bukan sekadar aktiviti sampingan," katanya.

Ahmad Shabery berkata masa depan sukan negara bergantung pada paparan oleh media kepada masyarakat dan sektor sukan telah memberi sumbangan sektor ekonomi tersendiri kepada negara.

"Sukan merupakan salah satu industri yang besar dalam sumbangan sektor ekonomi tersendiri kerana ia turut melahirkan pakar perubatan sukan, menjana penajaan kepada atlet, insurans sukan dan lain-lain," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Measat Broadcast Network Systems Datuk Rohana Rozhan berkata Astro Arena dapat memenuhi permintaan terhadap kandungan sukan tempatan melalui siaran langsung dan program acara dalam dan luar negara.

Dalam usaha menjadikan sukan lebih menarik kepada generasi muda, stesen itu telah melantik jaguh sukan negara seperti Datuk Lee Chong Wei, Esther Cheah, Mohd Zaquan Adha dan P. Mariappan sebagai Duta Astro Arena.

Astro kini mempunyai 29 saluran berjenama Astro serta saluran bersekutu dan terdapat 10 saluran sukan di platformnya termasuk dua saluran berdefinisi tinggi (HD) dan satu saluran sukan berbayar. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan