Beng Hee, Mohd Azlan Layak Ke Suku Akhir Skuasy Terbuka KL

Diterbitkan: Khamis, 18 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy lelaki utama Malaysia Ong Beng Hee dan Mohd Azlan Iskandar melepasi halangan pertama pada Kejohanan Skuasy Kuala Lumpur CIMB 2010 di sini semalam untuk layak ke suku akhir.

Beng Hee, pilihan kelapan, menundukkan juara 2007 Mohammed Abbas dari Mesir 11-8, 11-9, 3-11 dan 11-8 dalam masa 56 minit pada saingan di Pusat Skuasy Kebangsaan di Bukit Jalil manakala Mohd Azlan mengejutkan pemain nombor 10 dunia Adrian Grant dari England 11-4, 11-4 dan 11-9 dalam masa 40 minit.

"Jelas sekali ia hari yang sangat sukar, dia antara lawan daripada pusingan kelayakan yang sukar untuk ditewaskan. Hari ini, saya sangat bersedia dari segi mental kerana saya tahu bagaimana hebatnya dia. Dia baru pulih daripada kecederaan, jelas sekali tiada tekanan terhadap dia tetapi tekanan kepada saya," kata Beng Hee mengenai Abbas.

"Dia memberi tekanan kepada saya. Dalam permainan ketiga, saya sudah keletihan selepas dua permainan yang sengit," katanya.

Pada suku akhir, Beng Hee akan bertemu pilihan keempat, Mohamed El Shorbagy dari Mesir.

Beliau berkata pertemuannya dengan pemain Mesir itu adalah berbeza kerana mereka akan beraksi di atas gelanggang kaca.

"Beraksi di atas gelanggang kaca adalah berbeza, ia secara keseluruhannya permainan yang baru. Saya berharap penonton akan datang dan menyokong saya," kata Beng Hee.

Shorbagy hari ini menundukkan pemain Malaysia Ivan Yuen 11-5, 8-11, 13-11 dan 13-11 dalam masa 55 minit.

Sementara itu, Mohd Azlan berkata Grant adalah pemain yang sukar untuk ditundukkan tetapi beliau mempunyai rekod yang baik dalam pertemuan antara kedua-dua mereka sebelum ini.

"Saya cedera selama beberapa musim dan saya gembira bahawa saya masih menunjukkan kemampuan saya kepada orang ramai," kata Mohd Azlan.

Beliau akan bertemu Stewart Boswell dari Australia pada suku akhir.

Pemain Australia itu menundukkan seorang lagi pemain negara Muhd Azan 11-4, 11-8 dan 11-5 dalam masa 29 minit.

Pemain pilihan utama kejohanan Ramy Ashour dari Mesir menundukkan pemain Malaysia Nafiizwan Adnan 11-7, 11-9 dan 11-7. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan