suria

KL Marathon Sasar 18,000 Peserta Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Penganjur dan penaja acara Standard Chartered Kuala Lumpur Marathon pada 27 Jun ini berharap untuk menarik kira-kira 18,000 peserta dalam edisi maraton nanti, yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah US$100,000 (RM341,000).

Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered, Osman Morad berkata, jumlah pelari yang akan mengambil bahagian dalam maraton kali ini dijangka jauh lebih ramai berbanding edisi sulung tahun lepas yang menyaksikan kira-kira 12,000 peserta.

"Dengan maraton ini memasuki tahun kedua, kami menjangka acara ini akan dapat berkembang maju ke peringkat berikutnya," katanya dalam satu persidangan media selepas majlis pelancaran oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu Ahmad Shabery berkata, acara itu selaras dengan visi kementerian untuk membangunkan komuniti yang sihat dan bertenaga.

Acara Maraton itu turut mendapat sokongan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Persatuan Olahraga Amatur Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Acara itu menawarkan tujuh kategori yang terdiri daripada maraton penuh (kategori terbuka dan veteran), separa maraton (terbuka dan veteran), 10km (lelaki dan wanita), cabaran 10km korporat, 5km (Fun Run dan Family) serta Kid dash (3km and 850m). Untuk maklumat lanjut, orang ramai yang berminat boleh melayari laman web www.kl-marathon.com. - BERNAMA

Artikel Lain