suria

Sukan Komawel: Dapat Perak, Gangsa Di Delhi

NEW DELHI: Pasukan pemanah negara yang mengambil bahagian pada Ujian Antarbangsa Sukan Komawel memenangi pingat perak dan gangsa dalam kategori recurve dan compound hari Khamis.

Pasukan recurve lelaki Cheng Sian Chu, Fazu Hisham dan Ariff Farhan Putra tewas kepada India 211-218 mata pada pertandingan akhir acara itu untuk membawa pulang pingat perak.

Berbanding persembahan terbaik pada separuh akhir, pasukan recurve wanita Anbarasi Subramania, Noor Aziera dan Beatic Wong Zhia, hanya mampu memenangi pingat perak selepas tewas kepada pasukan tuan rumah 190-204.

Terdahulu Mohd Kaharudoin Asah, Lang Hon Keong dan Muhammad Zaki Mahazan ditewaskan oleh England 229-232 pada pertandingan akhir kategori compound.

Pasukan compound wanita terdiri daripada Nurhidayah Abdul Latip, Nor Hayati Al-Madihaha, Nor Riza Ishak pula memperoleh gangsa selepas menewaskan England 217-209.

Acara Ujian itu dijalankan di Kompleks Sukan Yamuna sebagai persediaan Sukan Komanwel yang akan berlangsung dari 3-14 Okt ini.

Pemanah Malaysia adalah antara 10 negara yang mengambil bahagian pada pertandingan itu.- BERNAMA

Artikel Lain