LTdL: Matthews Kuasai Peringkat Ketiga, Anuar Kekal Dua Jersi

Diterbitkan: Rabu, 3 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MERSING: Michael Matthews dari Team Jayco-Skins menguasai peringkat ketiga perlumbaan basikal berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010 yang berakhir di sini hari ini.

Menamatkan perlumbaan dalam kelompok besar pelumba, pelumba kelahiran Australia mencatat masa 3 jam 16 minit dan 27 saat dalam perlumbaan itu yang bermula di Pekan, Pahang dan berakhir di Mersing, Johor, sejauh 145.6 kilometer.

"Saya benar-benar yakin untuk mencapai sesuatu hari ini. Saya cuba berada di depan pelumba-pelumba lain.

"Selepas menang dalam peringkat pertama dua hari lepas, bebannya semakin kurang dan hari ini saya dapat tumpukan pada peringkat hari ini, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pelumba Australia berumur 20 tahun itu berkata memenangi satu peringkat perlumbaan juga bermakna bahawa beliau telah menambah 15 mata dalam perlumbaan pecut (jersi hijau).

"Walaupun saya menang dalam kelompok besar pelumba, saya bukanlah pelumba terpantas dalam LTdL tahun ini tetapi mendapat satu pasukan kerja yang baik dan sokongan daripada teman pelumba. Perjalanannya masih jauh lagi (lebih lima peringkat)," katanya.

Sementara itu, Alex Candelario dari Kelly Benefit Strategies menduduki tempat kedua mendahului pelumba ISD-Neri, Dmytro Grabovskyy yang menduduki tempat ketiga.

Tobias Erler dari Tabriz Petrochemical Cycling mengekalkan jersi kuningnya sebagai pendahulu kelas individu dengan catatan masa 11 jam 46 minit dan 02 saat.

Sementara itu, Peter McDonald dari Drapac Porsche Cycling mengutip dua mata hari ini bagi jersi merah berbintik polka sebagai Raja Bukit (KOM) dengan sejumlah 10 mata selepas menduduki tempat kedua dalam kategori empat KOM di Kampung Baharu, Mersing.

Sementara itu, pelumba sensasi Malaysia yang mewakili pasukan Geumsan Ginseng Asia terus menceriakan peminat tempatan pada LTdL tahun ini apabila mengekalkan jersi hijau (raja pecut) dan biru selaku pelumba terbaik Asia untuk tiga peringkat berturut-turut.

Beliau yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat hari ini berjaya menambah 28 mata lagi untuk keseluruhan 56 mata, selain mengungguli zon pecutan pertama di Nenasi, Pahang.

"Memang menjadi strategi saya pada peringkat ketiga mengutip mata sebanyak mungkin untuk mempertahankan jersi hijau ini manakala jersi biru sebagai bonus sahaja," katanya.

Anuar berkata beliau juga kini harus waspada dengan saingan yang diberikan oleh Matthews yang kini dilihat cuba untuk merampas jersi hijau daripadanya setelah pelumba kelahiran Australia itu hanya dibezakan dengan tiga mata.

"Pada peringkat ketiga ini memang dari awal kami bersaing hebat untuk mendapatkan mata di tiga zon pecutan yang dipertandingkan," katanya.

Pelumba berusia 24 tahun itu turut menyimpan impian besar untuk mengikat kontrak bersama-sama pasukan Pro Tour pada suatu masa nanti.

"Saya kini berusaha untuk melengkapkan diri dengan cuba untuk mendapatkan keputusan terbaik walaupun bersama pasukan berstatus benua ketika ini," kata pelumba kelahiran Kuala Ibai, Kuala Terengganu itu.

Beliau berkata sebagai permulaan untuk menarik minat pasukan Pro Tour, beliau akan cuba untuk merealisasikan sasaran pasukan pada LTdL dengan meraih jersi hijau dan menang satu peringkat perlumbaan.

Perlumbaan LTdL peringkat keempat esok akan bermula di Mersing ke Parit Sulong sejauh 163.5 km dengan 113 pelumba akan meneruskan saingan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan