suria

Korea Selatan Sekat Jerman Seri 2-2

NEW DELHI: Juara bertahan Jerman terikat 2-2 menentang Korea Selatan dalam perlawanan pembukaan kumpulan A, kejohanan Hoki Piala Dunia yang berlangsung di sini semalam. Pasukan gergasi Asia itu terlebih dahulu membuka jaringan pada minit kelapan menerusi Hyun Hye Sung hasil pukulan sudut penalti, sebelum Lee Nam Yong meletakkan pasukannya selesa mendahului kedudukan 2-0 pada minit ke-15.

Korea Selatan berjaya mengawal rentak perlawanan pada separuh masa pertama manakala Jerman pula buntu menembusi gawang lawan walaupun dianugerahkan lima pukulan sudut penalti.

Jerman bagaimanapun bangkit pada babak kedua, Benjamin Wess menyumbang gol pertama Jerman pada minit ke-50 permainan. Gol itu membangkitkan semangat Jerman untuk mengasak kubu pertahanan Korea Selatan dalam memburu gol penyamaan dan hasilnya pada minit ke-58, Florian Fuchs menjaringkan gol penyamaan yang dicari-cari pasukannya dan kedudukan kekal 2-2 sehingga tamat perlawanan.

Terdahulu, pasukan New Zealand mengalahkan Kanada 3-2 dalam satu lagi perlawanan kumpulan A.

Kanada bagaimanapun membuka jaringan seawal minit permainan bermula menerusi jaringan pantas Mark Pearson, sebelum New Zealand berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-11 menerusi Priyesh Bhana. Sembilan minit kemudian, Kanada sekali lagi mendahului kedudukan hasil jaringan Philip Wright, namun dua gol daripada Nicholas Haig (47 min) dan Ryan Archibald (66 min) berjaya mengubah nasib New Zealand untuk mengatasi Kanada dengan keputusan 3-2. Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan juara dunia tiga kali, Belanda menumpaskan Argentina 3-0.

Taeke Teekema mencipta hatrik dengan menyumbang ketiga-tiga gol pada minit ke-22, 35 dan 60. - BERNAMA

Artikel Lain