suria

Terengganu Terus Himpit Selangor

KUALA LUMPUR: Terengganu terus menghimpit pendahulu Liga Super, Selangor apabila mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, malam semalam.

Kemenangan ini membolehkan skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu merapatkan jurang mata dengan Selangor yang sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 di Stadium Utama di Perlis.

Dua gol Terengganu adalah sumbangan Zairol Anuar Zailani melalui sepakan percuma pada minit kedua permainan sebelum Mohd Ashaari Shamsuddin menambah gol kedua pada minit ke-89.

Selangor, yang juga merupakan juara bertahan, bagaimanapun masih kekal di tangga teratas liga dengan mengumpul 16 mata, berkelebihan dua mata berbanding Terengganu di tangga kedua.

Jaringan Safiq Rahim pada minit ke-39 menyelamatkan Selangor daripada mengalami kekalahan setelah ketinggalan seawal minit pertama kepada Perlis yang meledak gol melalui Ahmad Fakri Saarani.

Di Stadium Darulaman di Alor Setar, Kedah, turut mencatatkan kemenangan untuk kekal ditangga ketiga liga apabila menewaskan T-Team dengan keputusan 3-1 dengan dua gol disumbangkan oleh Azlan Ismail pada minit ke-25 dan 58.

Faizal Abu Bakar bagaimanapun menjaringkan gol pertama untuk Kedah pada minit ke-16 manakala gol saguhati pelawat hadir pada minit ke-81 melalui Mohd Norhisham Hassan.

Kelantan pula merampas kedudukan di tempat keempat daripada Perlis apabila menewaskan Pulau Pinang 3-1 di Stadium Sultan Mohammad ke-IV di Kota Baharu.

Bagaimanapun, Kelantan ketinggalan seawal minit ke-13 melalui jaringan V.Jaganathan.

Penyerang bawah 23 tahun kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha bagaimanapun menyelamatkan Kelantan apabila meledak hatrik pada minit ke-45, 50 dan 88 untuk membolehkan pasukan 'The Red Warriors' itu mengumpul mata penuh.

Shahrizan Mohd Salleh pula menjadi wira Pahang apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90 permainan untuk membolehkan skuad bimbingan Dollah Salleh itu mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas KL Plus.

Pada separuh masa pertama, Pahang mendahului melalui jaringan Azamudin Mohd Akil pada minit ke-37 namun berjaya disamakan oleh Mohd Lot Hassan pada minit ke-86. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Azizulhasni Kini Bergelar Suami

Artikel Lain