Pemain Terenganu Dilayangkan Satu Kad Merah, Tiga Kad Kuning - Sukan | mStar

Pemain Terenganu Dilayangkan Satu Kad Merah, Tiga Kad Kuning

Diterbitkan: Ahad, 31 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Buat pertama kali satu kad merah dan tiga kad kuning dilayangkan ke atas empat pemain bola sepak Terengganu dalam satu-satu perlawanan.

Setiausaha Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu (Peteh), Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata, nasib malang itu dialami dalam pertandingan Liga Super menentang Kuala Lumpur di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini malam tadi.

"Kita melihat perkara ini sedikit sebanyak memberi tekanan kepada Terengganu, lebih-lebih lagi kepada empat pemain yang terlibat," katanya mengulas mengenai perkara itu.

Kad merah tersebut dilayangkan kepada Mohd Muhaimin Omar oleh pengadil Abdul Jalil Khalid pada minit ke-54 selepas dia melakukan terjahan keras ke atas pemain lawan Yong Kuang Yong.

Sementara itu, ketua pasukan Terengganu yang juga bekas pemain kebangsaan, Marzuki Yusof, merupakan antara tiga pemain yang dilayangkan kad kuning dalam perlawanan dimenangi Terengganu dengan jaringan 2-0 itu.

Beliau berkata, Peteh yang sentiasa menyokong pasukan Terengganu merasa amat sedih dengan insiden itu dan merasakan ia boleh dielak daripada berlaku.

Wan Mohd Azmi berkata, dalam dunia bola sepak profesional, peminat-peminat tidak lagi mahu melihat corak permainan yang kasar, sebaliknya mereka ingin melihat permainan yang berkualiti dan bersih.

Katanya, pasukan Terengganu tahun ini boleh dianggap sebagai sebuah pasukan terbaik, dengan barisan pemain-pemain yang berkualiti dan tidak seharusnya mereka dilayangkan kad merah atau kuning begitu banyak.

Wan Mohd Azmi berkata, apa yang berlaku itu hendaklah dijadikan tauladan kerana Terengganu terpaksa bermain 10 orang akibat pemain pertahanan dibuang padang. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan