suria

Peminat Tempatan Pilih Jerman Julang Piala Dunia 2010

KUALA LUMPUR: Peminat-peminat fanatik bola sepak tempatan kini mula mencongak pasukan pilihan masing-masing untuk menjulang trofi Piala Dunia yang akan berlangsung di Afrika Selatan bermula 11 Jun ini.

Rata-rata peminat yang ditemui Bernama ketika menyaksikan pameran trofi Piala Dunia itu di sebuah kompleks membeli-belah di sini memilih Jerman sebagai pilihan utama untuk merangkul piala berprestij itu. "Pada pandangan saya, naib juara Piala Eropah 2008, Jerman mempunyai peluang yang cerah untuk menjulang kejuaraan di Benua Afrika kali ini," kata Wan Meswar Wan Ahmad, seorang kakitangan swasta. Beliau berkata ini kerana kebanyakan pemain Jerman mempunyai tahap kemahiran yang tinggi yang diketuai Micheal Ballack yang beraksi untuk kelab Chelsea di England serta penyerang Bayern Munich, Miroslav Klose.

Pandangan sama turut dikongsi seorang pesara kerajaan, A.Muniandy. Ini berdasarkan pengalaman Jerman yang beraksi pada edisi-edisi sebelum ini, katanya. Soo Chee Keong, 32 dan Ian Khoo, 27, yang merupakan pengurus acara turut menyokong Jerman untuk meraih gelaran juara Piala Dunia pada tahun ini berdasarkan semangat berpasukan yang tinggi dan juga liga tempatan mereka yang begitu mencabar.

Namun terdapat juga peminat tempatan yang memilih juara enam kali, Brazil yang kini dibimbing bekas pemainnya, Dunga untuk muncul juara. "Gaya permainan 'samba' yang menarik ditambah dengan skil individu yang dimiliki oleh setiap pemain mungkin akan menjadi faktor penyumbang kepada kejayaan Brazil," kata Syed Abdul Hafiz, 27 yang merupakan seorang guru.

Turut hadir menyaksikan pameran terbabit yang memasuki hari kedua dan terakhir adalah personaliti sukan Serbegeth Singh, Duta Tinggi Afrika Selatan ke Malaysia Sisa Ngombane, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Boyd McCleary, dan 60 pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil yang terpilih untuk menyaksikan trofi tersebut secara dekat.

Sementara itu, Pengurus Besar Am Coca-Cola Malaysia, Singapura dan Brunei, Antonio Del Rosario berkata mereka berbangga kerana dapat membawakan trofi tersebut untuk tatapan peminat-peminat bola sepak tempatan.

Trofi yang menjadi rebutan 32 pasukan yang akan beraksi pada pusingan akhir di Afrika Selatan itu akan dipamerkan di New Colodenia, berdekatan kepulauan Fiji selepas ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain