suria

Trofi Piala Dunia Suntik Semangat Pemain FAM

KUALA LUMPUR: Lebih 10,000 peminat bola sepak tempatan dijangka berpeluang melihat sesuatu yang jarang diperolehi, menatap trofi Piala Dunia, trofi bola sepak paling berprestij, dari dekat apabila dipamerkan di Pusat Konvensyen Mid Valley di sini esok.

Pengurus Besar Coca-Cola bagi Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Antonio Del Rosario berkata, bilangan pengunjung dijangka melebihi bilangan pengunjung sebelum ini sempena siri Jelajah Piala Dunia yang diadakan di Pusat Konvensyen Berjaya pada 2006.

"Apabila trofi ini dipamerkan untuk tatapan umum pada 2006, bilangan pengunjung sekitar 8,000 orang dan kami jangka bilangannya akan mencapai 10,000 orang kali ini," katanya.

Beliau ditemui selepas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan majlis mempamerkan trofi itu untuk tatapan umum di sini hari ini.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menganjurkan siri jelajah Trofi Piala Dunia FIFA selama sembilan bulan ke 83 bandar raya di dunia iaitu penjelajahannya ke lebih banyak negara berbanding siri jelajah 2006.

"Pada 2006, syarikat kami berjaya menganjurkan siri jelajah meliputi 26 negara dan tahun ini kita akan menjelajah ke 83 bandar raya di dunia," katanya.

Del Rosario berkata, syarikat itu gembira dapat membawa mesej perpaduan kepada rakyat di negara ini dalam semangat 1Malaysia.

"Siri jelajah ini adalah satu penghormatan untuk sukan popular ini yang melampaui halangan sosial, kebudayaan dan nasional," katanya.

Semasa siri jelajah dua hari ke Malaysia, peminat bola sepak akan dapat melihat trofi dan merakamkan gambar di samping ikon global juga menonton filem khas 3D terbitan FIFA sempena ulang tahunnya.

Trofi Piala Dunia itu juga dipamerkan kepada media dan rakan kongsi FIFA dengan kehadiran Pesuruhjaya Tinggi Afrika Selatan ke Malaysia Sisa Ngombane dan wakil FIFA Liu Lingling.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad berkata, pemilihan Malaysia sebagai salah satu destinasi siri jelajah Piala Dunia Coca-Cola, merupakan satu penghormatan besar dan menyuntik inspirasi kepada pemain, peminat bola sepak dan negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain