suria

Trofi Asli Piala Dunia Sedia Ditatap Umum Esok

Muhyiddin membuka tirai pada trofi Piala Dunia FIFA ketika pelancaran siri penjelajahan piala tersohor itu di sini, hari ini. Turut hadir Pengurus Besar Coca-Cola bagi Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Antonio del Rosario dan Jurucakap Persatuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA) Ling Ling Liau (kiri). - foto BERNAMA
Muhyiddin membuka tirai pada trofi Piala Dunia FIFA ketika pelancaran siri penjelajahan piala tersohor itu di sini, hari ini. Turut hadir Pengurus Besar Coca-Cola bagi Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Antonio del Rosario dan Jurucakap Persatuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA) Ling Ling Liau (kiri). - foto BERNAMA
Muhyiddin membuka tirai pada trofi Piala Dunia FIFA ketika pelancaran siri penjelajahan piala tersohor itu di sini, hari ini. Turut hadir Pengurus Besar Coca-Cola bagi Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Antonio del Rosario dan Jurucakap Persatuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA) Ling Ling Liau (kiri). - foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Orang ramai boleh melihat sendiri trofi sebenar Piala Dunia FIFA mulai esok (Jumaat) bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam di Pusat Pameran Mid Valley, di sini.

Trofi yang menjadi simbol ikonik bola sepak itu tiba dari Jakarta semalam dan hanya akan dipamerkan untuk sehari saja di Kuala Lumpur dalam rangka Siri Jelajah Piala Dunia anjuran Coca-Cola dengan kerjasama FIFA selama sembilan bulan di 83 bandar merentasi lima benua.

Menurut Pengurus Am Rantau Malaysia, Singapura dan Brunei The Coca-Cola, Antonio Del Rosario, siri jelajah yang buat julung kalinya membabitkan negara ini merupakan satu penghormatan dan sekaligus menunjukkan sukan ini telah berjaya menembusi sempadan sosial, budaya dan negara.

"Inilah trofi yang pernah dipegang oleh pemain-pemain bola sepak terkemuka seperti Maradonna dan Ronaldo setelah pasukan mereka pernah memenangi Piala Dunia terdahulu.

"Jika siri jelajah Piala Dunia FIFA 2006 hanya melibatkan kira-kira 20 buah negara saja, kini kami amat berbangga kerana dapat membawa trofi ini untuk dipamerkan kepada peminat-peminat sukan bola sepak di Malaysia pula," ujar beliau pada majlis membuka tirai trofi tersebut di Hotel Gardens, di sini, hari ini.

Turut hadir pada acara tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Afrika Selatan Ke Malaysia, Sisa Ngombane, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad dan wakil media FIFA, Liu Lingling.

Terdahulu, siri penjelajahan piala tersohor itu dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perancangan lain Coca-Cola sempena Piala Dunia yang akan berlangsung Julai ini, kata Antonio, pelbagai program sudah diaturkan menjelang acara tersebut.

"Selain siri jelajah Piala Dunia yang merupakan projek terbesar kami pada tahun ini, kami juga ada merangka pelbagai agenda lain. Kami telah bekerjasama dengan artis hip-hop dari Somalia, K'Naan menghasilkan lagu tema Coca-Cola sempena Piala Dunia ini dengan menampilkan elemen muzik Afrika.

"Lagu yang merupakan adunan dari lagu asal K'Naan, berjudul Wavin' Flag itu akan digunakan sebagai lagu tema sepanjang berlangsungnya kempen sempena acara itu seperti di dalam iklan televisyen dan di internet.

"Iklan komersial yang bakal menampilkan bintang bola sepak lagenda Afrika, Roger Milla juga adalah antara projek kemuncak kami," ujarnya.

Antonio turut melahirkan perasaan gembira dengan kerjasama yang dijalinkan antara Coca-Cola dan FIFA sejak tahun 1974 dan sebagai penaja rasmi Piala Dunia bermula pada 1974.

Malah, sebagai tanda komitmen terhadap FIFA, Coca-Cola akan terus menjadi penaja rasmi Piala Dunia untuk tempoh 12 tahun lagi sehingga 2022.

Tiket untuk melihat trofi asli setinggi 36.8 sentimeter dengan berat 6.175 kilogram serta diperbuat daripada emas tulen 18 karat itu boleh didapati dengan pembelian satu hidangan 'Burger Prosperity' bersaiz besar di restoran McDonald di Lembah Klang dan juga dengan melawat gerai Coke di Mid Valley.

Siri jelajah trofi ini telah memulakan perjalanannya dari Ibu Pejabat FIFA pada 21 September 2009 dan akan menjelajah ke seluruh dunia sebelum tiba di negara tuan rumah Piala Dunia 2010, Afrika Selatan pada 4 Mei depan.

Kuala Lumpur merupakan bandar raya Asia kelima menerima kedatangan trofi itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain