suria

Empat Peninju Terengganu Jalani Latihan Di Thailand

KUALA TERENGGANU: Empat peninju Terengganu kini giat menjalani latihan di Thailand sebagai persiapan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 di Melaka dari 10 hingga 19 Jun ini.

Setiausaha Persatuan Tinju Amatur Terengganu, Razali Mamat berkata, jurulatih tinju Terengganu, Adun Pasu, telah membawa peninju-peninju terbabit untuk berlatih di pusat latihan tinju di Korat selama dua minggu.

"Peninju-peninju kita berlatih dengan peninju-peninju remaja yang bakal mewakili Thailand pada satu kejohanan di Singapura April ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Razali berkata, selain empat peninju yang sedang berlatih di Thailand itu, Terengganu juga akan diwakili lima yang lain pada Sukma nanti.

Empat peninju yang dihantar berlatih di Korat ialah Wan Riduan Wan Aziz bagi kategori 57kg, Mohd Salman Muhammad (51kg), Mohd Farid Muhammad (54kg) dan Tengku Nasaruddin Tengku Yob (69kg).

"Kita jangka mereka ini dapat menyumbangkan pingat kepada Terengganu di Sukma nanti," kata Razali.

Pada Sukma kali ini, Terengganu meletakkan sasaran sekurang-kurangnya dua pingat emas iaitu daripada kategori 57kg dan 69kg. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain