suria

Ledakan Rooney Yakinkan Fergi, Man Utd Akan Kekal Takhta EPL

MANCHESTER: Dalam musim yang menyaksikan saingan untuk juara liga menjadi begitu terbuka untuk sekian lamanya,ledakan empat gol Wayne Rooney telah menyakinkan Sir Alex Ferguson bahawa Manchester United mampu mengekalkan takhta kejuaraan mereka untuk musim keempat berturut-turut.

Semalam Manchester Utd menjadi pasukan ketiga dalam tempoh seminggu untuk menduduki takhta persaingan - sesuatu yang jarang berlaku untuk kesekian lamanya.

Tetapi Wayne Rooney telah membenamkan empat biji gol untuk menambah parahkan kedudukan Hull City di tangga tercorot liga.

Malah, penyerang England itu menjadi pemain Manchester Utd yang pertama menjaringkan empat gol dalam saingan liga sejak Ole-Gunnar Solskjaer melakukannya pada Disember 1999 ketika mereka mengalahkan Everton 5-1.

Dan dalam proses melakukan demikian, Rooney mengangkat kelabnya naik dua anak tangga untuk mengatasi Arsenal, yang baru sahaja mengantikan Chelsea di tangga teratas liga beberapa hari lalu.

Manchester Utd kini mengutip 50 mata diikuti Arsenal dan Chelsea dengan masing-masing 48 mata. Tetapi United kini telah bermain satu perlawanan melebihi Arsenal dan dua perlawanan lebih daripada Chelsea.

Persembahan luar biasa Rooney semalam turut menjadikan jaringan golnya kepada 19 dalam 21 perlawanan liga.

Kata Sir Alex, cara Wayne bermain semalam membuktikan yang dia mampu mengatasi rekod gol pribadi semusimnya sebanyak 23 buah jaringan sebelum ini.

Pada masa yang sama, seorang lagi penyerang England, Michael Owen mempersembahan permainan yang sub-standard dan gagal membuktikan dia dan Rooney boleh bergandingan bahu sebagai penyerang berbisa England.

Pada separuh masa kedua, Owen digantikan dengan Berbatov malah penyerang Bulgaria itu telah membantu Rooney menjaringkan gol terakhirnya melalui satu hantaran silang yang sangat bijak.

Dalam pada itu Phil Brown, Pengurus Hull berkata: "Selepas apa yang saya saksikan malam ini, saya perlu katakan di sini, Rooney adalah pemain bertaraf dunia."

Manchester United: Edwin van der Sar, Patrice Evra (Da Silva Fabio, 88), Rio Ferdinand, Da Silva Rafael, Jonny Evans, J, Ji-Sung Park, Luis Carlos Nani, Paul Scholes (Darron Gibson, 72), Darren Fletcher, Michael Owen (Dimitar Berbatov, 72), Wayne Rooney.

Hull City: Boaz Myhill, Andy Dawson, Anthony Gardner, Paul McShane, Kamil Zayatte, Craig Fagan, Nicky Barmby (Bernard Mendy, 58), Deiberson Geovanni (Kevin Kilbane, 74), Stephen Hunt, Richard Garcia (Kamel Ghilas, 70), George Boateng

Artikel Sebelum

Keputusan Serie A Itali

Artikel Berikut

Artikel Lain