suria

Chong Wei Sasar Juarai Kejohanan All England

KUALA LUMPUR: Selepas menjuarai Siri Super Terbuka Malaysia buat kali keenam hari ini, pemain perseorangan nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei bertekad pula untuk merangkul kejuaraan Kejohanan All England.

"Tahun 2010 adalah tahun bertuah buat saya. Ia merupakan kali pertama dalam karier profesioal saya, saya mengungguli dua kejuaraan berturut-turut dalam tempoh dua minggu di negara yang bebeza.

"Saya tidak pernah menjangka saya boleh lakukannya tahun ini, mungkin kerana angka 20 dan 10," katanya. Chong Wei menjuarai Terbuka Malaysia pada 2004, 2005, 2006, 2008 dan 2009.

Sebelum Terbuka Malaysia, beliau selaku pemain pilihan pertama menjuarai Terbuka Korea pada 17 Januari lalu dengan menewaskan juara Denmark dan pilihan kedua kejohanan, Peter Gade-Christensen juga dalam straight set 21-12, 21-11.

Dalam perlawanan akhir di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini hari ini, beliau menewaskan pemain bukan pilihan dari Thailand, Boonsak Ponsana dalam straight set 21-13, 21-7 dalam masa 37 minit di hadapan kira-kira 5,000 penonton.

Mengenai lawannya itu, beliau berkata, beliau pernah menewaskan pemain ranking ke-12 dunia itu di peringkat suku akhir Terbuka Korea yang baru berlalu, juga dengan straight set.

"Tetapi perlawanan dengan Boonsak kali ini agak berbeza. Dalam set pertama, beliau lebih banyak menyerang. Tetapi selepas mata ke-11, saya menukar taktik dari bertahan kepada menyerang yang membolehkan saya memungut tujuh mata berturut-turut.

"Dalam set kedua, saya juga menggunakan taktik yang sama sehingga berjaya mengungguli kejuaraan. Saya sebenarnya keletihan setelah bertarung dalam Terbuka Korea, tetapi dengan kekuatan mental, saya tetap meneruskan perjuangan hari ini.

"Walaupun dengan usia saya (27 tahun), sekiranya saya dapat mengekalkan prestasi saya seperti yang saya lakukan hari ini, saya boleh menang banyak lagi kejohanan daripada tahun sudah," katanya.

Selepas ini Chong Wei berkata, beliau akan memfokuskan kepada All England dan Terbuka Swiss pada Mac.

"Di dua kejohanan ini, saya mungkin bertemu musuh ketat saya Lin Dan dari China. Tetapi sebelum itu, saya perlu rehat yang cukup dan banyak berlatih," katanya.

Dalam perseorangan wanita pula, pemain bukan pilihan dari China, Wang Xin memenangi kejuaraan apabila lawannya dari Korea Selatan, Bae Youn Joo tidak dapat meneruskan permainan pada rubber set kerana cedera pada kaki kanan.

Wang Xin, pemain ranking ke-2 dunia, tewas 19-21 di set pertama tetapi menang di set kedua 21-17 dan mendahului 14-6 di set penentuan sebelum Youn Joo menarik diri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Keputusan Serie A Itali

Artikel Berikut

Artikel Lain