suria

Kontinjen SUKMA Kedah Sasar 35 Pingat Emas Di Melaka

ALOR SETAR: Majlis Sukan Negeri Kedah, mensasarkan pungutan 35 pingat emas dalam Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 yang akan berlangsung di Melaka pada 10 hingga 19 Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan, Kebudayaan, Hamdan Mohamed Khalib berkata, kontinjen Kedah mampu mencapai sasaran itu kerana atlet-atlet telah menunjukkan kesungguhan dalam setiap latihan yang dijalankan.

"Keyakinan ini bertambah apabila kontinjen Kedah juga mempunyai lebih kurang 15 orang atlet kebangsaan dan ini satu bonus kepada kita untuk meraih emas dalam acara yang dipertandingkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Kem Sukma Kedah, di Kompleks Sukan Mu'adzam Shah, dekat sini hari ini.

Hamdan berkata pada Sukma yang lepas, Kedah memungut 29 pingat emas dan ia merupakan jumlah pungutan terbaik dalam Sukma yang berlangsung di luar Kedah.

"Antara acara yang berpotensi untuk menyumbangkan pingat emas untuk Sukma tahun ini ialah angkat berat, berbasikal, silat, wushu, badminton dan silambam, manakala bagi acara berpasukan pula, badminton, ragbi dan bola sepak turut mempunyai peluang cerah meraih emas," katanya.

Hamdan berkata, setiap atlet yang berjaya meraih pingat akan diberikan insentif seperti Sukma yang lepas iaitu untuk pingat emas sebanyak RM3,000, pingat perak (RM2,000) dan gangsa (RM1,000).

Beliau berkata, sejak 21 Jan lalu, semua atlet acara individu telah berkampung di kompleks sukan itu bagi menjalani latihan di samping melakukan ujian saringan kecerdasan yang berakhir hari ini.

"Kita juga akan mengadakan kem yang sama seperti ini untuk atlet acara berpasukan bulan depan dan dua lagi kem bakal diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM) tidak lama lagi," katanya.

Kontinjen Kedah akan menghantar 529 orang atlet dan pegawai pada temasya Sukma ke-13 nanti dan mensasarkan pasukan itu berada dalam kelompok enam pasukan terbaik. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain