suria

FAM Sedia Teliti Rayuan Harimau Muda Sertai Liga Super

MARAN: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia meneliti rayuan pasukan Harimau Muda A untuk dikembalikan ke dalam kancah saingan Liga Super selepas ditolak bermain dalam Liga Singapura.

Presiden FAM Sultan Ahmad Shah berkata perkara itu mungkin akan diteliti pada mesyuarat Ahli Jawatankuasa FAM akan datang.

"Insya-Allah," kata baginda kepada pemberita ketika ditanya mengenai kedudukan pasukan itu selepas merasmikan Forum Hak dan Perpaduan Melayu Dalam Konteks 1Malaysia anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Khazanah Alam, Jengka di sini, hari ini.

Ditanya sama ada perkara itu nanti akan menjejaskan kedudukan Pahang dalam saingan Liga Super, baginda berkata keputusan untuk memasukkan Pahang dalam saingan Liga Super dibuat atas kelayakan berdasarkan kedudukan pasukan itu dalam liga selain mendapat persetujuan Ahli Jawatankuasa badan induk bola sepak itu.

Baginda menafikan kemasukan Pahang dalam saingan Liga Super disebabkan kedudukan baginda dalam FAM seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Ada dalam tulisan (akhbar), macam saya berusaha, beria-ia nakkan Pahang (dimasukkan dalam Liga Super).

"Bukan saya, (sebaliknya) kerana Pahang (berkedudukan) teratas dalam kumpulan dia, sebab itu Pahang dibawa masuk, itu dengan persetujuan Ahli Majlis (FAM)," tegas baginda.

Sebelum ini, jurulatih Harimau Muda A, Azraai Khor Abdullah menyarankan pasukannya dikembalikan ke Liga Super, malah menganggap belum terlewat untuk melakukannya demi memberikan pendedahan pertandingan sebenar daripada membiarkan mereka cuma berlatih dan terperap di kem latihan selain mengadakan siri lawatan dan perlawanan persahabatan.

Mengenai gesaan supaya kedudukan skuad bola sepak Bawah 23 dikekalkan, Sultan Ahmad Shah berkatanya baginda tidak dapat memberikan butirannya kerana menganggap perkara itu masih "rahsia".

Baginda bagaimanapun melahirkan rasa bangga dengan pencapaian pasukan itu yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA Laos Disember lepas.

"Sebab itu saya selalu kata jangan anggap pasukan negara tidak mampu dapat kejayaan cemerlang," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain