suria

Hafiz, Choong Hann Kandas Di Pusingan Awal

KUALA LUMPUR: Dua pemain perseorangan badminton lelaki negara Muhammad Hafiz Hashim dan Wong Choong Hann tumpas di pusingan pertama kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Malaysia yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini hari ini.

Hafiz, 28, pemain ranking ke-23 dunia tewas kepada pemain dari Taiwan, Hsien Yu Hsing 19-21, 21-15 dan 14-21.

"Secara jujur saya tidak bermain dengan baik di depan jaring. Saya sungguh kecewa kerana saya telah membuat persiapan yang rapi untuk kejohanan ini, malah tidak menyertai Terbuka Korea minggu lepas," katanya. Hafiz berkata tumpuannya kini kepada Kejohanan All England yang akan berlangsung pada Mac depan dan Piala Thomas, pada Mei yang akan berlangsung di sini.

Sementara itu, jurulatih perseorangan negara, Hendrawan berkata serangan balas pantas Hafiz tidak menjadi dan banyak melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan.

"Mungkin dia terlalu yakin dan sangat ingin kemenangan, selepas membuat persiapan yang rapi untuk kejohanan ini," katanya. Pemain veteran negara, Choong Hann, 33, pula dikalahkan pemain dari Poland, Wacha Przemyslaw juga dalam perlawanan yang berlangsung sehingga ke set penentuan 22-20, 14-21 dan 11-21.

Dalam saingan beregu campuran, pasangan bukan pilihan Koo Kean Keat dan Wong Pei Tty tewas kepada beregu pilihan kelima dari Indonesia, Hendra Aprida Gunawan dan Vita Marissa 19-21, 18-21.

Bagaimanapun pasangan Tan Wee Kiong dan Woon Khe Wei berjaya meneruskan saingan ke pusingan kedua selepas menewaskan beregu campuran dari Jepun Kenichi Hayakawan dan Ayaka Takahashi 21-16 dan 21-14. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain