suria

Selangor Kukuhkan Kedudukan Di Takhta liga Super

KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Selangor terus mengukuhkan kedudukannya di tangga teratas saingan bola sepak Liga Super apabila membenam cabaran KL Plus 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Kelana Jaya, malam ini.

Gol tunggal pemain tengah, Mohd Hardi Jaafar pada minit ke-67 sudah cukup untuk skuad bimbingan K.Devan itu mencatatkan kemenangan ketiga daripada tiga perlawanan yang telah diharungi.

Skuad itu kini mengumpul maksimum sembilan mata diikuti rapat Terengganu dan Johor FC di tangga kedua dan ketiga dengan masing-masing mengumpul tujuh mata, dibezakan dengan jumlah jaringan.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu berpesta gol apabila membelasah Pulau Pinang 4-0 walaupun gagal memecahkan benteng lawan pada separuh masa pertama.

Mohd Firdaus Fauzi membuka jaringan Terengganu pada minit ke-59 sebelum Mohd Ashaari Shamsuddin menjadikan kedudukan 2-0 seminit kemudian untuk skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu.

Jentera serangan Terengganu terus ampuh dengan menambah dua lagi gol melalui Joseph Kalang dan Abdul Manaf Mamat pada minit ke-82 dan 90.

Sementara itu, jaringan Mohamad Khairul Ismail pada minit ke-90 permainan membolehkan Johor FC yang dibimbing Ramlan Rashid mengecewakan Kedah dengan keputusan 1-0 di Stadium Darulaman, Alor Setar.

Pasukan Pahang yang dibimbing Dollah Salleh pula berjaya bangkit daripada ketinggalan 1-0 sebelum menewaskan T-Team dengan keputusan 2-1 di Stadium Darulmakmur, Kuantan.

Pelawat membuka jaringan seawal minit ke-19 melalui Azrul Azram Aminuddin Baki sebelum Md Shahrizan Md Salleh meledak dua gol untuk Pahang pada minit ke-85 dan 90.

Penyerang sensasi Perak, Mohd Razali Umar Kandasamy pula meledak satu gol pada minit ke-91 untuk membantu pasukannya menewaskan Johor 2-0 di Stadium Tan Sri Dato' Hj Hassan Yunos, Larkin setelah Safuan Roslan menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-90.

Juara Piala Malaysia musim lepas, Negeri Sembilan nyata masih sukar mencari penyudah berkesan apabila sekadar seri tanpa jaringan menentang Kuala Lumpur di Stadium Bola sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Nasib sama turut dialami naib juara Piala Malaysia musim lepas, Kelantan yang turut terikat tanpa jaringan menentang Perlis di Stadium Utama Negeri di Kangar. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain