suria

Daniel Bego, Pasukan Badminton Wanita Penerima Anugerah Olimpian 2009

KUALA LUMPUR: Perenang negara Daniel Bego dan pasukan badminton wanita negara dinobatkan sebagai penerima anugerah Olimpian Lelaki dan Wanita 2009 pada malam Olimpian yang berlangsung di Wisma OCM di sini.

Daniel, 20, yang berasal dari Kuching Sarawak dipilih sebagai penerima anugerah itu di atas kejayaannya merangkul lima pingat emas dan memperbaharui empat rekod Sukan SEA dalam acara 100 meter, 200m, 400m gaya bebas dan 100m kuak kupu-kupu pada Sukan Sea Laos, Disember lalu.

Ini kali kedua Daniel merangkul anugerah itu selepas kali pertama menerimanya pada tahun 2007 di atas kejayaannya menyumbang dua pingat emas dalam acara 100m kuak kupu-kupu dan 200m gaya bebas dan mencipta rekod baru kejohanan pada Sukan SEA di Korat Thailand pada tahun 2007, sekaligus melayakan diri ke Sukan Olimpik Beijing pada 2008.

"Saya sangat gembira dengan pencapaian ini. Selepas ini fokus saya untuk memenangi pingat pada Sukan Asia di Guangzhou China dan Sukan Komanwel New Delhi, India tahun ini," katanya yang ditemui selepas menerima anugerah itu.

Kejayaan pasukan badminton wanita negara yang melakar sejarah menamatkan penantian 34 tahun pingat emas untuk negara selepas menewaskan pasukan Indonesia pada perlawanan akhir badminton berpasukan wanita pada Sukan SEA Laos yang lalu membolehkan pasukan itu menerima anugerah Olimpian Wanita 2009.

Sepuluh pemain yang menganggotai pasukan itu terdiri daripada pemain perseorangan wanita -- Wong Mew Choo, Lydia Cheah, Tee Jing Yi, Sannatasah Saniru, dan beregu -- Chong Sook Chin, Woon Khe Wei, Goh Liu Ying, Ng Hui Lin, Chin Eei Hui dan Wong Pei Tty.

Kedua-dua penerima anugerah membawa pulang wang tunai RM10,000 dan sebuah trofi yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tunku Imran Tuanku Jaafar.

Pada majlis itu, Timbalan Presiden MOM Datuk Dr. M. Jegathesan dianugerahkan Trofi "Sukan dan Memerangi Dadah" Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC).

Beliau yang juga seorang doktor, pernah mewakili negara dalam tiga sukan Olimpik pada 1960, 1964 dan 1968 dan menjadi tokoh sukan paling lantang memerangi penggunaan dadah dalam sukan sejak beliau menjadi anggota Jawatankuasa Perubatan MOM sekitar tahun 80-an. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain