suria

Chong Wei Ungguli Terbuka Korea Buat Julung Kali

Lee Chong Wei (kanan) dan Peter-Gade Christensen selepas berakhirnya acara akhir lelaki perseorangan pada Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Korea di Seoul, Korea Selatan, hari ini. Foto REUTERS

KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei memulakan tahun baru dengan bergaya apabila meraih gelaran sulung musim ini pada Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Korea di Seoul, Korea Selatan, hari ini.

Kejayaan menumpaskan juara bertahan Peter-Gade Christensen dari Denmark 21-12, 21-11 pada perlawanan akhir itu lebih bermakna apabila ia merupakan sulung gelaran Terbuka Korea buat Chong Wei sepanjang pembabitannya dalam karier profesionalnya.

Sebelum melangkah ke perlawanan akhir, Chong Wei, selaku pilihan utama kejohanan, turut mencipta kemenangan straight set menentang pemain England Andrew Smith pada pusingan pertama, Marc Zwiebler dari Jerman (pusingan kedua), Boonsak Ponsana dari Thailand pada suku akhir dan pemain China Chen Jin pada separuh akhir.

Berikutan kejayaan itu, Chong Wei, 27, akan terus memburu gelaran apabila mempertahankan kejuaraan Siri Super Terbuka Malaysia di sini bermula Rabu ini.

Sementara itu, China masih menguasai kejohanan itu tanpa kehadiran bintang utamanya seperti Lin Dan dan Bao Chunlai apabila merangkul tiga daripada lima gelaran yang dipertandingkan.

Wang Shixian merangkul gelaran perseorangan wanita apabila menundukkan pemain bukan pilihan Sung Ji Hyun dari Korea Selatan 21-10, 25-23 manakala acara beregu wanita pula dimenangi oleh gandingan utama Cheng Shu-Zhao Yunlei.

Beregu China itu menumpaskan pasangan Jepun, Mizuki Fujii-Reika Kakiiwa 21-16 21-15 sementara gandingan He Hanbin-Yu Yang menungguli acara beregu campuran.

Mereka menumpaskan gandingan campuran senegara Tao Jiaming-Zhang Yawen 21-15, 21-16 pada perlawanan akhir.

Beregu lelaki tuan rumah Jung Jae Sung-Lee Yong Dae, iaitu beregu pilihan utama kejohanan, menghalang penguasaan China apabila menumpaskan beregu pilihan kelima Cai Yun-Fu Haifeng 21-11, 14-21, 21-18. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain